SPH Media Singapura alami serangan siber

Gambar hiasan

SINGAPURA, 10 November – Rangkaian media “omnichannel” Singapura, SPH Media memaklumkan bahawa ia baru-baru ini mengesan serangan siber terhadap lima sistemnya, mengakibatkan sembilan peratus pangkalan data peribadinya terdedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maklumat peribadi terdedah termasuk alamat e-mel, beberapa nama, alamat surat-menyurat dan nombor telefon.
  • Kumpulan kedua hanya melibatkan akses tanpa kebenaran ke sistem yang tidak menyimpan data peribadi.
  • Tiada butiran kad pembayaran, maklumat kewangan atau kelayakan akaun pelanggan terjejas.
  • SPH Media mengukuhkan keselamatan, melantik pakar luar, melapor kepada pihak berkuasa dan memaklumkan serta menasihati pihak terjejas.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memberi jaminan bahawa tiada butiran kad pembayaran, maklumat kewangan atau perbankan, mahupun kelayakan akaun pelanggan yang terjejas.

Menurutnya, serangan siber berkenaan melibatkan dua kumpulan sistem, iaitu sistem yang mengandungi sebahagian data peribadi dan sistem yang tidak menyimpan sebarang data peribadi.

“Bagi kumpulan pertama, maklumat yang terdedah sebahagian besarnya merangkumi alamat e-mel, selain beberapa nama, alamat surat-menyurat dan nombor telefon.

“Kumpulan kedua pula melibatkan akses tanpa kebenaran ke atas sistem yang tidak mengandungi sebarang data peribadi,” katanya pada Selasa.

SPH Media berkata pihaknya telah mengambil langkah segera bagi mengukuhkan keselamatan sistem yang terjejas serta melantik pakar keselamatan siber luar untuk menyiasat dan membendung pencerobohan berkenaan.

“Kami turut melaporkan insiden itu kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi, Agensi Keselamatan Siber Singapura, Penguasa Pembangunan Infokom Media serta membuat laporan polis.

Kami juga telah memaklumkan kepada semua pihak yang terjejas mengenai insiden ini dan menasihati mereka tentang langkah berjaga-jaga yang perlu diambil,” katanya sambil menambah bahawa satu notis nasihat telah dimuat naik di halaman utama laman sesawangnya.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.