Malaysia cadang koridor digital bantu pembangunan semula Palestin – DS Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) ketika Pertemuan dua hala dengan Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Nepal Bikram Timilsina bersempena Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Doha / Foto BERNAMA

DOHA, 10 November – Malaysia mencadangkan penubuhan koridor digital rentas sempadan bagi menyokong pembangunan semula Palestin pascakonflik, khususnya di Gaza, Ramallah dan Tebing Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif itu mampu memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam kesalinghubungan dan ekonomi digital, sambil membuka ruang sumbangan kepakaran negara peserta.
  • Cadangan bertujuan mengeratkan hubungan Malaysia-Palestin melalui kerangka kerjasama digital menerusi Digital Majlis.
  • Pelaksanaan perlu mempertimbangkan kos kesalinghubungan, literasi digital, keselamatan dan kebolehpercayaan komunikasi.
  • Digital Majlis digalakkan tubuhkan sekretariat kerja 90 hari, mulakan projek berskala kecil antara dua pasaran, kemudian kembangkan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu berpotensi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang kesalinghubungan dan ekonomi digital, selain membuka ruang kepada negara peserta menyumbang kepakaran.

“Untuk melihat kerjasama yang boleh kita wujudkan, termasuk menyelesaikan beberapa masalah dalam hubungan antara negara.

Sebagai contoh, Malaysia boleh berusaha membantu dan meningkatkan kerjasama dalam bidang digital dengan negara seperti Palestin,” katanya.

Menurutnya, cadangan itu turut bertujuan mengeratkan hubungan Malaysia dan Palestin menerusi kerangka kerjasama digital melalui Digital Majlis.

Idea berkenaan tercetus susulan perbincangan dengan Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Ekonomi Digital Palestin, Huda Al-Wahidi, mengenai cabaran membangunkan semula kawasan yang terjejas akibat konflik.

Datuk Seri Fahmi berkata, pelaksanaan inisiatif itu perlu mengambil kira kos kesalinghubungan, literasi digital, keselamatan dan kebolehpercayaan komunikasi.

Beliau turut mencadangkan supaya Digital Majlis menubuhkan sekretariat kerja dalam tempoh 90 hari bagi menyelaraskan maklumat negara peserta serta mengenal pasti peluang kerjasama.

Katanya, kerjasama boleh dimulakan menerusi projek berskala kecil antara dua pasaran sebelum diperluas ke negara lain.

Malaysia turut bersedia menyumbang kepakaran menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyokong pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Cadangan itu dikemukakan Datuk Seri Fahmi ketika menghadiri sesi Digital Majlis Founding Roundtable sempena Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026 di Qatar.

Beliau kini mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) yang berlangsung di Doha dari 6 hingga 11 November.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.