
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Tiada dasar atau bentuk kerjasama khusus antara Kementerian Pertahanan atau Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dengan Kerajaan Negeri berkaitan hal ehwal veteran buat masa ini.
- Kerajaan negeri menunjukkan keprihatinan melalui pelbagai inisiatif bagi menghargai jasa dan pengorbanan veteran ATM.
- Kerajaan negeri Pahang mengedarkan 5,000 Kad Kesihatan Makmur Edisi Pahlawan bernilai RM500 kepada veteran ATM 60 tahun ke atas bermastautin dan berdaftar sebagai pengundi.
- Kad itu boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta di Pahang.
- Kerajaan negeri menyalurkan bantuan kewangan kepada persatuan veteran dan melibatkan komuniti veteran dalam program negeri termasuk Hari Kebangsaan serta Malaysia MADANI.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri turut menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelbagai inisiatif bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
“Sebagai contoh, kerajaan negeri Pahang meluluskan dan mengedarkan 5,000 Kad Kesihatan Makmur Edisi Pahlawan bernilai RM500 setiap satu kepada veteran ATM berusia 60 tahun ke atas yang bermastautin serta berdaftar sebagai pengundi di negeri itu.
“Kad berkenaan boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta di Pahang. Selain itu, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kewangan kepada persatuan veteran ATM bagi menyokong pelaksanaan aktiviti mereka.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail, yang meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan tahap kerjasama kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam memperkukuh pengiktirafan terhadap sumbangan veteran ATM.
Menurut Adly, komuniti veteran turut dilibatkan dalam pelbagai program di peringkat negeri, termasuk sambutan Hari Kebangsaan dan program Malaysia MADANI.
Kerajaan negeri juga sentiasa menyokong serta mengalu-alukan program anjuran Kementerian Pertahanan atau JHEV ATM yang memberi manfaat kepada komuniti setempat, termasuk veteran ATM..