
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Peningkatan geran Rukun Tetangga (KRT) kepada RM10,000 bagi setiap KRT berdaftar yang aktif menerusi Belanjawan 2027 diharap dapat memperbanyak aktiviti kemasyarakatan, mengeratkan hubungan kejiranan serta memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi.
- Peningkatan geran KRT diharap memperbanyak aktiviti kemasyarakatan dan mengeratkan hubungan kejiranan untuk memperkukuh perpaduan akar umbi.
- Perpaduan bukan sekadar slogan tetapi asas kestabilan negara, memerlukan usaha berterusan dan komitmen semua lapisan masyarakat.
- Keharmonian perlu dipelihara melalui penghayatan nilai saling memahami, menghormati dan menerima menghadapi cabaran dunia moden dan digital.
- Mesyuarat MPPN membincangkan agenda perpaduan termasuk Program JALIN, manakala Persidangan Negara Bangsa fokus kepada identiti nasional.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata geran berkenaan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000, iaitu peningkatan sebanyak 66.7 peratus.
Menurutnya, perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi asas penting kepada kestabilan dan masa depan negara yang memerlukan usaha berterusan serta komitmen semua lapisan masyarakat.
“Keharmonian negara perlu terus dipelihara melalui penghayatan nilai saling memahami, menghormati dan menerima antara satu sama lain, khususnya dalam mendepani cabaran dunia moden serta perkembangan landskap digital,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Bilangan 2 Tahun 2026, di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fadillah turut menyentuh penganjuran Persidangan Negara Bangsa yang dijadual berlangsung pada 30 November hingga 2 Disember 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Persidangan itu menjadi platform untuk membincangkan cabaran pembinaan identiti nasional dalam masyarakat majmuk, sekali gus menyumbang kepada usaha memperkukuh perpaduan negara.
Mesyuarat MPPN kali ini turut membincangkan pelbagai agenda perpaduan, termasuk Program JALIN dalam kalangan komuniti etnik Subpan di Lahad Datu, Sabah.
Datuk Seri Fadillah yakin kerjasama erat antara kerajaan, agensi dan masyarakat akan terus menjadi kekuatan dalam memelihara keharmonian serta membina Malaysia yang bersatu padu, aman dan sejahtera.