
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Malaysia bersedia memperluas perkongsian kepakaran dalam pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan negara anggota Bank Pembangunan Islam (IsDB).
- Pengalaman Malaysia memperkasa PMKS meningkatkan daya tahan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan boleh dimanfaatkan oleh negara anggota IsDB.
- Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dan memperluas kerjasama pembangunan di peringkat antarabangsa.
- Malaysia menyambut pemerkasaan Pusat Kecemerlangan IsDB di Kuala Lumpur sebagai hab perkongsian ilmu, mengukuh peranan negara sebagai rakan pembangunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengalaman Malaysia dalam memperkasa PMKS, meningkatkan daya tahan ekonomi serta menjana peluang pekerjaan berpotensi dimanfaatkan oleh negara anggota IsDB.
Perkara itu dinyatakannya dalam pertemuan dengan Pengerusi IsDB, Dr. Muhammad Sulaiman Al Jasser, tengah hari tadi di Bangunan Parlimen.
“Saya turut menegaskan kesediaan Malaysia berkongsi kepakaran dan memperluas kerjasama pembangunan di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Datuk Seri Anwar turut menyambut baik usaha pemerkasaan Pusat Kecemerlangan IsDB di Kuala Lumpur sebagai hab perkongsian ilmu dan kepakaran.
“Kerjasama erat ini akan memperluas peranan Malaysia sebagai rakan pembangunan yang berwibawa, sekali gus membawa kepakaran anak bangsa ke pentas dunia,” katanya.
Pertemuan Perdana Menteri dengan Dr. Muhammad tersebut mencerminkan keyakinan berterusan terhadap hala tuju pembangunan dan tatakelola Malaysia.