
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Keputusan penutupan atau pembukaan semula sekolah susulan situasi jerebu ditentukan secara bersama oleh tiga kementerian dengan mengambil kira faktor kesihatan murid dan kesan terhadap proses pembelajaran.
- Perbincangan melibatkan KPM, KKM dan NRES berdasarkan kepakaran masing-masing.
- Keputusan dibuat selepas meneliti pemantauan kualiti udara dan aspek kesihatan untuk keselamatan murid serta mengurangkan kehilangan pembelajaran.
- Harapan jerebu tidak berlarutan kerana penutupan lama menjejaskan pembelajaran; perlunya panduan jelas sebelum membuat keputusan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, perbincangan itu melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), berdasarkan kepakaran masing-masing.
Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat dengan meneliti pemantauan kualiti udara dan aspek kesihatan bagi memastikan keselamatan murid, selain mengambil kira risiko kehilangan pembelajaran sekiranya sekolah ditutup terlalu lama.
“Jadi, soal penutupan atau pembukaan semula sekolah akan menjadi agenda penting yang dibincangkan oleh ketiga-tiga kementerian berdasarkan kepakaran KKM dan NRES,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Lembah Pantai.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Datuk Seri Fadhlina berharap situasi jerebu tidak berlarutan kerana penutupan sekolah dalam tempoh panjang boleh menjejaskan kesinambungan pembelajaran murid.
“Insya-Allah, kita berharap keadaan ini tidak berpanjangan kerana kita perlu mengambil kira kesan terhadap kesihatan sekiranya sekolah tidak ditutup, selain risiko kehilangan pembelajaran (learning loss) jika sekolah terus ditutup.
“Kedua-dua aspek ini memerlukan pertimbangan dan panduan yang jelas sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.