Sukan Para Asia 2026: Abdul Latif pertahan emas lompat jauh T20 kali keempat berturut-turut

Foto FB Majlis Sukan Negara

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly meneruskan penguasaan dalam acara lompat jauh T20 lelaki apabila mempertahankan pingat emas buat kali keempat berturut-turut pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Abdul Latif mencatat lompatan terbaik 7.39m untuk mengesahkan kejuaraan lompat jauh T20.
  • Hassan Dawshi raih perak dengan 7.03m, manakala Kanta Kokubo meraih gangsa 6.98m.
  • Kejayaan ini menyumbang pingat emas ketiga kontinjen negara, selepas Bonnie Bunyau Gustin menang powerlifting 72kg lelaki.

Pada aksi di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, Abdul Latif mencatat lompatan terbaik 7.39 meter (m) untuk mengesahkan kejuaraan yang dimenanginya sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Pingat perak menjadi milik atlet Arab Saudi Hassan Dawshi menerusi lompatan 7.03m, manakala wakil tuan rumah Kanta Kokubo meraih gangsa dengan catatan 6.98m.

Abdul Latif, pemegang rekod dunia dengan catatan 7.67m, sebelum ini turut meraih emas pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia dan 2022 di Hangzhou, China.

Dua lagi wakil negara, Eljoe Gotuoh menamatkan saingan di tempat keempat dengan lompatan 6.91m, manakala Nik Mohamad Rahmat Mohd Zahari menduduki tempat ketujuh menerusi catatan 6.42m.

Kejayaan Abdul Latif turut menyumbang pingat emas ketiga kontinjen negara pada temasya kali ini, selepas jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin mengungguli kategori 72 kilogram lelaki di Nagoya City Trade & Industry Center, hari ini. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.