Kerajaan perkukuh ekosistem keselamatan identiti digital

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara Bil.3/2026 di Perdana Putra, Putrajaya. / Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan Kad Pengenalan (MyKad) sebagai kredensial fizikal dan sistem MyDigital ID bagi urusan digital sebagai usaha menangani ancaman siber sekali gus memperkasa kesiapsiagaan kedaulatan digital negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengukuhan keselamatan siber termasuk persediaan kriptografi pasca-kuantum untuk menangkis ancaman masa hadapan.
  • Meneliti pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 dan memperkukuh perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara.
  • Galakan penggunaan aplikasi tempatan TuJu sebagai alternatif susulan risiko keselamatan berkaitan aplikasi asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengukuhan itu turut disokong dengan perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC).

“Usaha ini penting bagi memastikan pendigitalan perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengabaikan keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara.

“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Datuk Seri Anwar berkata perkara tersebut hasil mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara Bil. 3/2026 yang dipengerusikannya hari ini, bertujuan meneliti perkembangan ancaman siber serta memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.

Perbincangan mesyuarat merangkumi pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui PQC, ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan autonomi serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

Mesyuarat turut meneliti risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel.

“Sehubungan itu, penggunaan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), digalakkan sebagai alternatif,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.