
KUANTAN, 20 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang disyaki menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai di perairan Pekan, pada 18 Oktober lalu.
- Bot ditahan kira-kira pukul 11.30 malam semasa Op Makmur dan Op Tiris.
- Pemeriksaan mendapati tujuh kru termasuk tekong; semua warga Vietnam berumur antara 25 hingga 51 tahun.
- Dikesan melanggar Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kira-kira 8.4 batu nautika timur Merchung; dokumen kru disyaki palsu, siasatan Imigresen dijalankan.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mazlan Mat Rejab berkata, bot itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam ketika pihaknya melaksanakan Op Makmur dan Op Tiris.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan tujuh kru termasuk tekong, yang kesemuanya warga Vietnam berusia antara 25 hingga 51 tahun.
Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu disyaki melanggar Akta Perikanan 1985 apabila dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan kira-kira 8.4 batu nautika di timur Merchung, iaitu dalam lingkungan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai.
Selain itu, kesemua kru turut didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan. Perkara itu sedang disiasat bagi mengenal pasti kemungkinan pelanggaran Akta Imigresen 1959/63.
Bot bersama semua kru kemudian diiring ke Jeti Pangkalan Maritim Teluk Gading untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.