Malaysia teroka kerjasama strategik IRF, UNECE perkasa infrastruktur jalan raya

Foto RTM

GANGNEUNG, 20 Oktober – Malaysia meneroka peluang kerjasama strategik dengan Persekutuan Jalan Raya Antarabangsa (IRF) dan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Eropah (UNECE) bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan dan keberkesanan pengurusan infrastruktur jalan raya negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan membuka peluang pelaksanaan program bersama menggunakan kepakaran, teknologi dan sistem antarabangsa.
  • LLM dan JKR akan terlibat dalam program meningkatkan kecekapan sistem jalan raya negara.
  • Lawatan teknikal meninjau sistem kutipan tol aliran bebas berbilang lorong MLFF di Plaza Tol Gangneung.
  • Kerjasama merangkumi perkongsian penyelesaian teknologi, piawaian antarabangsa dan pembangunan infrastruktur pintar serta berdaya tahan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata perbincangan itu membuka ruang kepada Malaysia untuk meneroka pelaksanaan program bersama, termasuk memanfaatkan kepakaran, teknologi dan sistem sedia ada di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, beberapa program berpotensi dilaksanakan menerusi penglibatan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meningkatkan kecekapan sistem jalan raya negara.

“Antara perkara yang dibincangkan ialah beberapa program yang berpotensi dilaksanakan di Malaysia dengan melibatkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meningkatkan kecekapan sistem jalan raya negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan teknikal bagi meninjau sistem kutipan tol aliran bebas berbilang lorong (MLFF) yang digunakan di Plaza Tol Gangneung, bersempena Kongres Dunia Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2026 di Gangneung.

Menurut Datuk Seri Alexander Nanta, kerjasama yang dirangka bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal jalan raya, malah merangkumi perkongsian penyelesaian teknologi, sistem pengurusan dan kepakaran teknikal.

“Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan aspek pembinaan fizikal, malah turut merangkumi perkongsian penyelesaian, sistem dan kepakaran bagi meningkatkan kecekapan infrastruktur jalan raya negara,” katanya.

Jelasnya, kerjasama dengan IRF dan UNECE berpotensi meningkatkan keselamatan serta kecekapan jalan raya negara melalui penerapan teknologi terkini, piawaian antarabangsa dan pembangunan infrastruktur yang lebih pintar serta berdaya tahan.

Mesyuarat dua hala itu turut membuka peluang kepada Malaysia untuk meneroka inovasi teknologi antarabangsa yang berpotensi diaplikasikan bagi melancarkan aliran trafik dan meningkatkan kecekapan sistem pengurusan jalan raya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.