PUTRAJAYA, 20 Oktober – Radio Televisyen Malaysia (RTM) melakar kejayaan cemerlang apabila dinobatkan pemenang bagi 15 daripada 30 kategori Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 pada Majlis Prelude ASA 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
- RTM memenangi kategori utama seperti Liputan Berita TV Terbaik, Bicarawara TV Terbaik, Rancangan Agama dan Pengulas TV Terbaik.
- Program Salam Baitullah gunakan elemen kecerdasan buatan dan siaran luar lokasi, memberi keunikan serta pujian kepada penerbit dan pasukan.
- Pemenang menzahirkan penghargaan kepada keluarga dan pasukan; Ismail Adnan raih anugerah pertama selepas lebih 12 tahun.
Antara kategori dimenangi adalah Liputan Berita TV Terbaik, Bicarawara TV Terbaik, Rancangan Agama Terbaik dan Pengulas TV Terbaik.
Pemenang Liputan Berita TV Terbaik, Nor Ain Abu Bakar berkata kemenangan itu bukan sahaja buat dirinya, malah buat keluarga dan pasukan yang sentiasa memberi sokongan.
“Kemenangan ini sebenarnya kepada keluarga saya dan pasukan yang telah memberi kerjasama sepanjang saya berkarya.
“Pada masa sama, kemenangan ini akan terus memberi semangat kepada saya untuk terus berkarya untuk penonton RTM,” katanya.
Sementara itu, Shahril Sarapudin yang mengungguli kategori Bicarawara TV Terbaik berkata kejayaan itu hasil kerja keras sepasukan.
“Anugerah ini mewakili semua pegawai dan penyiar di RTM kerana saya tengok penerbit sudah mula berkarya. Saya berharap lebih banyak karya bagus dapat dihasilkan oleh RTM,” ujarnya.
Shahril turut merangkul kategori Rancangan Agama TV Terbaik menerusi program Salam Baitullah bersama penerbit bersama, Nuraishah Mohd Yusof.
Nuraishah berkata, pendekatan elemen kecerdasan buatan (AI) memberi keunikan dalam program berkenaan.
“Kejayaan pasukan Salam Baitullah kerana buat pertama kali menerapkan elemen AI selain, bersiaran di luar lokasi.
“Ini menjadi kegembiraan buat keseluruhan pasukan dan pengurusan yang bertungkus lumus menjayakannya,” ujarnya.
Selain itu, Ismail Adnan yang dinobatkan sebagai pemenang Pengulas TV Terbaik berasa syukur kerana akhirnya berjaya menggenggam anugerah pertama selepas 12 tahun menceburi bidang penyiaran.
“Ini anugerah pertama selepas lebih 12 tahun. Alhamdulillah.
“Ini juga hasil kerja keras semua pihak terlibat dan 30 peratus usaha itu datang daripada saya, selebihnya kerjasama pasukan.Kemenangan ini untuk kita semua,” luahnya.
RTM turut mengungguli antaranya kategori Majalah TV Terbaik, Rancangan Kanak-Kanak TV Terbaik, Kesan Khas TV Terbaik dan Dokumentari TV Terbaik.
Sebanyak 30 daripada 60 kategori keseluruhan ASA 2026 diumumkan pada Majlis Prelude ASA 2026.
Manakala, 30 kategori utama akan diumumkan pada Malam Kemuncak ASA 2026 pada 24 Oktober 2026.