
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Kerajaan terbuka untuk meneliti cadangan memperluas perlindungan di bawah Akta Antibuli 2026 (Akta 876) kepada individu berusia 18 tahun ke atas, termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).
- Cadangan masih dalam perbincangan melalui sesi libat urus; tiada keputusan dibuat setakat ini.
- Jika dibawa, Jemaah Menteri dan kementerian berkaitan perlu meneliti serta berbincang sebelum sebarang keputusan.
- Peluasan perlindungan memerlukan penelitian menyeluruh termasuk mempertimbangkan mekanisme sekolah, tribunal dan tahap kesedaran golongan muda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata cadangan itu perlu dibincangkan bersama kementerian berkaitan sebelum dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung cadangan berkenaan kerana perkara itu masih dalam perbincangan menerusi sesi libat urus.
“Jemaah Menteri perlu meneliti perkara ini sekiranya ia dibawa untuk pertimbangan. Namun, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat. Perkara ini masih dalam perbincangan setiap kali kami mengadakan sesi libat urus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Lembah Pantai, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Azalina berkata kerajaan turut mengambil kira peranan serta tanggungjawab pihak sekolah dan kementerian dalam menangani isu buli menerusi intervensi yang dilaksanakan ketika ini.
Menurutnya, mekanisme sedia ada yang melibatkan sekolah dan tribunal masih berjalan, manakala cadangan berkaitan golongan berusia 18 tahun ke atas memerlukan perbincangan lanjut.
Beliau berkata, sebarang peluasan perlindungan kepada golongan berkenaan memerlukan penelitian menyeluruh, termasuk mengambil kira tahap kesedaran golongan muda terhadap hak mereka.
“Golongan berusia 13 hingga 17 tahun semakin meningkat kesedaran mereka tentang hak masing-masing apabila usia bertambah. Oleh itu, banyak perkara perlu diambil kira,” katanya.