
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Tindakan membanteras kegiatan “jenayah korporat” terus dipertingkat, dengan RM4.3 bilion dana dibekukan, RM1 bilion aset disita serta RM1.1 bilion kompaun dikeluarkan sejak akhir 2022 hingga September tahun ini.
- Pelucuthakan aset berjumlah RM48 juta dicatatkan, lebih RM3 bilion masih dalam perbicaraan mahkamah.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim tegaskan tindakan mencerminkan komitmen berterusan agensi penguatkuasa.
- Semua tindakan dibuat mengikut AMLA bagi pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.
Dalam tempoh sama, pelucuthakan aset berjumlah RM48 juta turut dicatatkan, manakala lebih RM3 bilion lagi masih dalam proses perbicaraan mahkamah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan itu mencerminkan komitmen berterusan agensi penguat kuasa dalam menangani jenayah korporat.
“Saya mahu mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada badan penyiasatan dan pendakwaan yang terus mengambil tindakan dan tidak hanya memberi respons terhadap isu yang dibangkitkan dalam media atau media sosial.
“Kerja ini tentunya memerlukan satu komitmen yang jelas dan ketegasan. Saya serahkan kepada pihak penguatkuasaan sama ada tindakan itu selesai dengan pendakwaan sebelum dihebahkan, itu bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas Perdana Menteri lagi, kesemua tindakan membanteras kegiatan jenayah korporat dibuat berdasarkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA).