RoS batal pendaftaran Perikatan Nasional

Logo PN / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Oktober – Pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN) dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) atau (RoS) berdasarkan subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

RINGKASAN BERITA AI
  • Parti berkenaan gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis sebelum ini.
  • Pendaftar menilai dokumen dan penjelasan lalu mendapati tiada justifikasi kukuh mengekalkan pendaftaran.
  • Notis dikeluarkan JPPM pada 22 September; maklum balas dikemukakan pada 12 Oktober.
  • JPPM menegaskan pertubuhan mesti mematuhi Akta Pertubuhan dan perlembagaan masing-masing.

JPPM memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas parti berkenaan gagal menyangkal asas pembatalan pendaftaran seperti dinyatakan dalam notis sebelum ini.

“Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, Pendaftar Pertubuhan turut mendapati bahawa tiada justifikasi yang kukuh diberikan untuk mengekalkan pendaftaran PN,” menurut kenyataan JPPM.

Notis berkenaan dikeluarkan JPPM pada 22 September di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966, sebelum parti itu mengemukakan maklum balas pada 12 Oktober.

Dalam kenyataan sama, JPPM turut menegaskan setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan masing-masing.

“Fungsi kawal selia dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara tegas, adil dan berlandaskan undang-undang bagi memastikan tadbir urus pertubuhan yang teratur, telus dan berintegriti,” menurut JPPM.

Sebelum ini, PN berdepan isu dalaman selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat aduan kepada JPPM berhubung kedudukannya dalam gabungan itu.

RoS mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu pada 11 Ogos, termasuk berkaitan dakwaan parti berkenaan tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta persoalan mengenai status keanggotaannya dalam gabungan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.