Raja Charles puji usaha Oman wujudkan keamanan di Asia Barat

Raja Britain, Raja Charles III, menyampaikan ucapan pada majlis jamuan rasmi di Istana Windsor/ AFP)

LONDON, 21 Oktober – Raja Britain, Raja Charles III, memuji usaha Oman dalam membantu mewujudkan keamanan di Asia Barat, ketika Sultan Haitham bin Tariq memulakan lawatan pertamanya ke United Kingdom (UK) dalam tempoh hampir setengah abad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Charles memuji peranan Oman sebagai pengantara dipercayai dan usaha membuka semula Selat Hormuz, menyokong keamanan Asia Barat.
  • Lawatan Sultan Haitham ke Britain pertama dalam 44 tahun; perbincangan dengan Perdana Menteri fokus pada keselamatan, perdagangan dan pelaburan.
  • Hubungan Britain-Oman kukuh dalam diplomasi, pertahanan dan perdagangan; latihan bersama, peranan pelabuhan Duqm dan penempatan pesawat pejuang disebut.

Ketika berucap pada majlis jamuan rasmi di Istana Windsor pada Selasa, Raja Charles III turut menghargai hubungan diplomatik, ketenteraan dan diraja yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

Baginda menyifatkan usaha Oman membantu membuka semula Selat Hormuz sebagai satu langkah yang terpuji.

“Oman terus memainkan peranan penting sebagai pengantara yang dipercayai semua pihak ketika konflik kembali memuncak di rantau berkenaan.

“Peranan Oman di rantau Teluk serta pendekatan berkecualinya yang membina melangkaui isu Selat Hormuz dan wajar diberikan penghormatan sewajarnya”, katanya.

Lawatan negara itu merupakan yang pertama oleh Sultan Oman ke Britain dalam tempoh 44 tahun, ketika Asia Barat berdepan ketegangan susulan perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Sultan Haitham dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri UK, Andy Burnham, di Downing Street pada Rabu. Isu keselamatan, perdagangan dan pelaburan dijangka menjadi antara agenda utama perbincangan.

Majlis jamuan pada Selasa turut dihadiri Burnham serta pemimpin syarikat Shell, BP dan Airbus, selain kerabat diraja dan tetamu kenamaan lain.

Dalam ucapannya, Raja Charles berkata hubungan Britain dan Oman diperkukuh oleh kerjasama dalam bidang diplomatik, pertahanan, perdagangan dan kepercayaan.

UK telah lama menjalin kerjasama ketenteraan dengan Oman, termasuk latihan bersama pasukan tentera kedua-dua negara selama beberapa dekad. Bandar pelabuhan Duqm turut menjadi lokasi penting bagi ketenteraan Britain.

Dalam perkembangan berasingan, kerajaan Britain mengumumkan penempatan pesawat pejuang negara itu bagi membantu pertahanan Arab Saudi daripada serangan kumpulan Houthi dari Yaman yang bersekutu dengan Iran.-AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.