Protes: PM Perancis rancang adakan pertemuan dengan kesatuan sekerja

Anggota keselamatan pengangkutan RATP di dalam stesen Metro Republique yang ditutup ketika pelaksanaan perintah berkurung di beberapa kawasan/ AFP)

PARIS, 21 Oktober – Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu, merancang mengadakan pertemuan dengan wakil kesatuan sekerja pada Rabu bagi membincangkan isu keselamatan, susulan rusuhan minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan berikrar mengerahkan anggota polis secara besar-besaran untuk mengawal demonstrasi akan datang.
  • Rusuhan hujung minggu lalu antara yang terburuk dalam beberapa tahun, berlaku enam bulan sebelum pilihan raya presiden.
  • Demonstrasi bantah kenaikan kos sara hidup dijadual Sabtu; kesatuan turut merancang tunjuk perasaan pada 5 November.
  • Lecornu mengakui langkah keselamatan sebelum ini tidak mencukupi dan berjanji melaksanakan pendekatan lebih tegas sebelum gelombang demonstrasi seterusnya.

Beliau turut berikrar mengerahkan anggota polis secara besar-besaran bagi mengawal demonstrasi akan datang.

Ekonomi kedua terbesar di zon euro itu dilanda rusuhan, antara yang terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini pada hujung minggu lalu, hanya enam bulan sebelum pengundi memilih pengganti Presiden Emmanuel Macron.

Menurut surat yang dihantar kepada organisasi berkaitan, Lecornu akan bertemu wakil daripada lima kesatuan sekerja pada Rabu bagi membincangkan langkah untuk menjamin kebebasan berhimpun secara aman.

Surat itu turut menyatakan terdapat pihak yang cuba menjejaskan tujuan demonstrasi menerusi tindakan yang disifatkan sebagai tidak boleh diterima.

Satu lagi demontrasi membantah peningkatan kos sara hidup dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini, anjuran gerakan Yellow Vest dan pelajar sekolah menengah. Sementara itu, kesatuan sekerja turut merancang mengadakan demonstrasi pada 5 November.

Bagaimanapun, pelajar sekolah menengah tidak dijemput menghadiri pertemuan pada Rabu.

Rakaman kejadian rusuhan, rompakan kedai dan bangunan awam dibakar pada hujung minggu lalu mendorong beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, China dan Jerman, mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat masing-masing yang berada di Perancis.

Ketika berdepan kritikan ahli Parlimen, Lecornu mengakui langkah keselamatan yang diambil sebelum ini masih belum mencukupi dan berjanji pendekatan lebih tegas akan dilaksanakan menjelang gelombang demonstrasi seterusnya.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.