Polis Australia beri amaran peningkatan fahaman ekstremis dalam talian

Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia (AFP), Krissy Barrett / AFP

MELBOURNE, 21 Oktober – Ketua Polis Persekutuan Australia memberi amaran fahaman ekstremis dalam talian semakin meningkat dan mencetuskan perpecahan politik susulan serangan terhadap ahli parlimen, Helen Haines, yang kini dalam keadaan kritikal di hospital Melbourne.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesuruhjaya AFP menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan fahaman ekstremis dalam talian.
  • AFP merekodkan peningkatan penghinaan, ugutan dan intimidasi dalam talian terhadap ahli Parlimen persekutuan.
  • Helen Haines kini kritikal selepas dilanggar kenderaan berhampiran pejabatnya di Wangaratta.
  • Pemandu berusia 43 tahun didakwa atas memandu berbahaya, berdepan hukuman maksimum 10 tahun penjara.

Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia (AFP), Krissy Barrett, berkata peningkatan pandangan ekstremis, khususnya dalam talian, semakin membimbangkan.

“Ancaman jenayah ketika ini semakin meruncing dan AFP merekodkan peningkatan penghinaan, ugutan dan intimidasi dalam talian terhadap ahli Parlimen persekutuan”, katanya

Haines kini bertarung nyawa selepas dilanggar sebuah kenderaan berhampiran pejabatnya di Wangaratta, kira-kira 200 kilometer ke timur laut Melbourne, pada Isnin.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan susulan peningkatan ancaman dan gangguan terhadap wakil rakyat di Australia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, meskipun keganasan politik jarang berlaku di negara itu.

Ahli Parlimen bebas berusia 65 tahun itu dilanggar sebuah kenderaan ketika berdiri berhampiran but keretanya pada petang Isnin.

Pemandu lelaki berusia 43 tahun itu didakwa pada Selasa atas kesalahan memandu secara berbahaya, menyebabkan kecederaan parah dan mencederakan penjawat awam, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun.

Suspek berkenaan dijadual dihadapkan ke mahkamah di Wangaratta pada Rabu.

Polis Victoria percaya kejadian itu dilakukan dengan sengaja terhadap mangsa.-AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.