Dakwah perlu selari dengan perkembangan teknologi dan gaya hidup semasa

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Oktober – Pendekatan dakwah perlu mengambil kira perubahan teknologi dan gaya hidup bersesuaian dengan perkembangan serta keperluan semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguasaan kemahiran dan kefahaman baharu penting untuk penyampaian dakwah yang lebih berkesan dan berhikmah.
  • Program Usrah MADANI memperkukuh kefahaman Islam pegawai agensi melalui ilmu, pengalaman, wasatiyyah, maqasid syariah dan nilai kasih sayang.
  • Dakwah mesti mengambil kira konteks masyarakat, pengesahan maklumat dan kesan tindakan bagi memastikan mesej bertanggungjawab dan berkesan.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, penguasaan menerusi kemahiran dan kefahaman baharu penting bagi memastikan penyampaian dakwah lebih berkesan dan berhikmah.

“Kita melihat bagaimana perubahan teknologi dan kehidupan masyarakat telah mengubah landskap serta gaya hidup. Sehubungan itu, pendekatan dakwah juga perlu disesuaikan dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kemahiran baharu dan kefahaman yang lebih mendalam, agar dakwah dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan berhikmah, selaras dengan perubahan semasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program Usrah MADANI bertajuk ‘Dakwah Intelligence’ yang disampaikan oleh Pengarah Penyelidikan dan Latihan Da’wah Institute of Nigeria, Sheikh Muhammad Nuruddeen Lemu, di sini.

Tambah Dr. Zulkifli, program Usrah MADANI bertujuan memberi pencerahan dan memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan pegawai agensi agama menerusi perkongsian ilmu dan
pengalaman, termasuk pendekatan dakwah berteraskan prinsip wasatiyyah, maqasid syariah serta nilai kasih sayang.

Menerusi pengisian program tersebut juga peserta didedahkan kepada kepentingan memahami konteks masyarakat, mengesahkan maklumat dan mempertimbangkan kesan sesuatu tindakan bagi memastikan mesej Islam disampaikan secara bertanggungjawab, berkesan dan berhikmah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.