KPWKM sedia kaunseling mangsa gambar tidak senonoh janaan AI

Foto RTM

GEORGE TOWN, 21 Oktober – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menghulurkan khidmat kaunseling kepada  300 pelajar perempuan yang didakwa menjadi mangsa suntingan gambar tidak senonoh menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian menyediakan khidmat kaunseling melalui LPPKN, KEMAS, YKN dan JKM dengan kaunselor bertauliah.
  • Usaha mengesan identiti mangsa sukar kerana kes melibatkan penyuntingan gambar menggunakan teknologi digital dan kecerdasan buatan.
  • Imej tidak senonoh tular melibatkan pelajar sekolah menengah di Seremban; gambar disebarkan dan dijual melalui aplikasi Telegram.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya terbuka untuk membantu kesemua mangsa terjejas, namun mengakui wujud kekangan bagi mengenal pasti identiti mereka secara mendalam memandangkan isu tersebut melibatkan teknologi digital yang rumit.

“Jadi, kita ingin memaklumkan kepada orang ramai, khususnya ahli keluarga mangsa, bahawa mereka boleh mendapatkan khidmat kaunseling daripada kementerian sekiranya diperlukan.

“Kita mempunyai beberapa bahagian dan jabatan yang menyediakan khidmat kaunseling, antaranya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Semua jabatan ini mempunyai kaunselor bertauliah yang boleh memberikan khidmat kaunseling kepada mereka yang memerlukan.

“Bagaimanapun, usaha untuk mengesan mangsa agak sukar sekiranya kita tidak mengetahui identiti mereka, terutama dalam kes penyebaran gambar tidak senonoh yang disunting menggunakan kecerdasan buatan (AI),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026 Peringkat Kebangsaan di Penang Waterfront Convention Centre, di sini, pada Rabu.

Terdahulu, tular imej tidak senonoh melibatkan 300 pelajar perempuan sekolah menengah di Seremban yang menjadi mangsa penyuntingan gambar mengaibkan menggunakan teknologi AI.

Gambar tersebut difahamkan bukan sahaja disebarkan dalam kalangan pelajar di sekolah malah dijual menggunakan aplikasi Telegram.

Perkara berkenaan mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan pihak sekolah, berikutan potensi trauma psikologi yang mendalam kepada pelajar terbabit.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.