Colombia rampas 4,200 sirip jerung dipercayai untuk pasaran Asia

Lebih 4,200 sirip jerung dirampas Polis Colombia / Foto AFP

BOGOTA, 24 Oktober – Polis Colombia merampas lebih 4,200 sirip jerung yang dipercayai berasal daripada lebih 1,000 ekor haiwan itu dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di pesisir Lautan Pasifik, menjadikannya rampasan terbesar seumpamanya di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan mengandungi sirip jerung dibungkus, dipercayai diseludup ke pasaran Asia melalui Ecuador; nilai dianggarkan AS$190,000.
  • Antara spesies terlibat ialah jerung martil dan jerung rubah, kedua dua berdepan ancaman serius terhadap kelangsungan populasinya.
  • Seorang ditahan dan didakwa mengeksploitasi sumber alam secara haram serta memperdagangkan hidupan liar; undang-undang boleh menghukum penjara sehingga sembilan tahun.

Pihak berkuasa memaklumkan pada Jumaat bahawa nilai keseluruhan rampasan dianggarkan AS$190,000 (kira-kira RM800,000).

Pejabat Pendakwa Raya Colombia berkongsi rakaman video di platform X yang menunjukkan sirip jerung yang telah dipotong dan dibungkus di dalam guni.

“Bukti menunjukkan sirip berkenaan mungkin berasal daripada lebih 1,000 ekor jerung,” menurut kenyataan agensi itu di X.

Menurut polis, penghantaran berkenaan dipercayai untuk dibawa ke Ecuador sebelum diseludup ke pasaran gelap Hong Kong.

Sirip jerung mendapat permintaan di pasaran Asia, khususnya sebagai bahan dalam hidangan sup sirip jerung.

Rampasan itu dilakukan di sebuah premis yang menjalankan perniagaan makanan laut.

Antara spesies yang dipercayai terlibat ialah jerung martil dan jerung rubah, yang berdepan ancaman serius terhadap kelangsungan populasinya.

Dalam operasi itu, seorang lelaki turut ditahan.

Beliau didakwa oleh Pejabat Pendakwa Raya atas kesalahan mengeksploitasi sumber alam secara haram dan memperdagangkan hidupan liar.

Colombia merupakan antara negara paling kaya dengan biodiversiti di dunia.

Namun, jerung, pari dan chimaera, iaitu kumpulan ikan bertulang rawan, sering menjadi mangsa penangkapan ikan haram.

Perairan Lautan Pasifik negara itu juga merupakan laluan migrasi penting bagi spesies berkenaan.

Undang-undang Colombia memperuntukkan hukuman penjara sehingga sembilan tahun bagi kesalahan penangkapan ikan secara haram.

Mengulas kes itu, Senator Colombia yang memperjuangkan kebajikan haiwan, Andrea Padilla, mengecam tindakan memotong sirip jerung dan menyifatkannya sebagai kekejaman terhadap haiwan.

Dalam hantaran di X, beliau mendakwa haiwan berkenaan mungkin masih hidup ketika siripnya dipotong dan menyuarakan kemarahan terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.