
SEPANG, 24 Oktober – Lebih 2,000 pengunjung memanfaatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan menerusi program Jiwa Rahmah Santuni MADANI 2026 yang berlangsung di Dewan Komuniti Taman Putra Perdana, di sini.
- Melakar aspirasi Santuni MADANI dengan pentadbiran turun padang, mendekati masyarakat dan memupuk budaya tolong-menolong.
- Pusat sehenti perkhidmatan kerajaan: maklumat perumahan, pembaharuan lesen, pendaftaran kad pengenalan, semakan saman, percukaian dan khidmat nasihat pendidikan.
- Inisiatif kebajikan dan ekonomi: saringan kesihatan percuma, Jualan Rahmah potongan hingga 30 peratus dan aktiviti merancakkan ekonomi peniaga kecil.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata kehadiran pengunjung itu sekali gus merealisasikan objektif penganjuran program selari aspirasi Santuni MADANI yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita mahu pentadbiran negara sentiasa turun padang, mendekati masyarakat, memahami keperluan setempat serta menyelami denyut nadi rakyat.
“Kita juga mahu budaya tolong-menolong terus dipupuk dan diamalkan kerana melalui semangat kebersamaan inilah kita dapat membangunkan komuniti, negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Jiwa Rahmah Santuni MADANI 2026 di sini.
Program itu menyediakan pusat sehenti bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan menyelesaikan pelbagai urusan rasmi menerusi penyertaan agensi kerajaan serta badan berkanun.
Antara perkhidmatan ditawarkan termasuk maklumat perumahan mampu milik menerusi Perbadanan PR1MA Malaysia dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), urusan pembaharuan lesen memandu, semakan saman, pendaftaran kad pengenalan, percukaian serta khidmat nasihat pendidikan.
Selain itu, saringan kesihatan dan pergigian secara percuma turut disediakan kepada pengunjung.
Manakala, inisiatif kebajikan komuniti merangkumi penukaran minyak hitam motosikal, penggantian topi keledar untuk pengunjung terawal, gunting rambut serta pelbagai aktiviti kekeluargaan.
Sementara itu, Datuk Aiman berkata kerajaan turut mengambil kira cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat menerusi penganjuran program Jiwa Rahmah Santuni MADANI 2026.
“Kerajaan juga sentiasa mendengar keluhan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup.
“Hari ini, Jualan Rahmah turut diadakan dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus bagi membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat,”katanya.
Program itu turut menampilkan demonstrasi keselamatan kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, aktiviti kelestarian alam sekitar serta Pesta Makanan dan Keluarga yang berlangsung dari 22 hingga 24 Oktober bagi merancakkan aktiviti ekonomi peniaga kecil tempatan.
Penganjuran edisi kedua di Parlimen Sepang itu mencerminkan usaha KPKT memperluas akses kepada perkhidmatan kerajaan yang inklusif dan mesra rakyat, di samping memperkukuh semangat kebersamaan serta kesejahteraan komuniti setempat.