6,781 isi rumah sertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat setakat 31 Ogos 2026

Tapak Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang melibatkan IPR-INSAN dan IPR-INTAN di Batu Pahat/Gambar fail Iskandar Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Sebanyak 6,781 isi rumah miskin tegar, miskin dan B40 telah menyertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di seluruh negara sehingga 31 Ogos 2026, menurut Kementerian Ekonomi.

RINGKASAN BERITA AI
  • IPR-INSAN: 1,228 peserta; 929 peserta atau 76% merekod jualan kumulatif melebihi RM2,000.
  • Beberapa peserta IPR-INSAN di UiTM Machang dan Hospital Sungai Buloh mencapai purata jualan melebihi RM13,000 sebulan.
  • IPR-INTAN: 2,034 peserta; 1,322 peserta atau 65% mencapai sasaran pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM2,000.
  • IPR melengkapkan program pembasmian kemiskinan dengan ekosistem sokongan bagi menjana pendapatan tambahan mampan sebanyak RM2,000 sebulan.

Bagi Inisiatif Usahawan Makanan atau IPR-INSAN, sebanyak 1,228 peserta telah mendapat manfaat dengan 929 peserta atau 76 peratus memperoleh hasil jualan kumulatif melebihi RM2,000 sepanjang pelaksanaan program itu.

Menurut kementerian, beberapa peserta turut mencatat jualan amat membanggakan termasuk masing-masing seorang peserta program IPR-INSAN di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang dan Hospital Sungai Buloh yang meraih purata hasil jualan melebihi RM13,000 sebulan.

“Inisiatif Usahawan Tani atau IPR-INTAN menyaksikan sebanyak 2,034 peserta menyertai projek pertanian berdaya maju dengan sejumlah 1,322 atau 65 peratus peserta program berjaya mencapai sasaran pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM2,000,” maklum kementerian dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Kiosk makanan Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang melibatkan IPR-INSAN dan IPR-INTAN di Batu Pahat/Gambar fail Iskandar Malaysia

Kenyataan Kementerian Ekonomi itu bagi menjawab pertanyaan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai pencapaian terkini IPR, termasuk jumlah peserta yang berjaya meningkatkan pendapatan melepasi garis kemiskinan.

Menurut kementerian, di bawah Inisiatif Operator Perkhidmatan atau IPR-IKHSAN, sebanyak 890 peserta mendapat manfaat manakala program Basmi Miskin Tegar (BMT) memberi manfaat kepada 2,629 peserta.

IPR merupakan pelengkap program pembasmian kemiskinan sedia ada dan kerajaan menyediakan ekosistem bagi menyokong dan menggalakkan peserta menjalankan aktiviti menjana pendapatan tambahan secara mampan dengan sasaran pendapatan tambahan sebanyak RM2,000 sebulan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.