
BANTEN, 21 Oktober – Ratusan penumpang dipindahkan selepas sebuah feri, KMP Batumandi, terbakar ketika dalam perjalanan merentasi Selat Sunda berhampiran Pelabuhan Merak, Indonesia, pada Selasa.
- Rakaman menunjukkan asap hitam tebal menjulang dari feri.
- Semua penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat, menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Banten.
- 393 penumpang bersama kenderaan, 27 tanpa kenderaan; yang cedera dirawat di pusat kesihatan dan hospital.
- Kebakaran dipercayai bermula di bahagian buritan dek atas; pihak berkuasa menyiasat punca dan menilai kerugian.
Rakaman kejadian menunjukkan asap hitam tebal menjulang tinggi dari feri berkenaan, manakala penumpang yang dipindahkan berkumpul di terminal pelabuhan.
Pegawai Agensi Mencari dan Menyelamat Banten, Rizky Dwianto berkata, semua penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat.
“Pasukan tindak balas bersama memberi tumpuan kepada usaha memadamkan kebakaran di atas feri berkenaan”, katanya.
Sementara itu, Jurucakap Polis Wilayah Banten, Pesuruhjaya Kanan Maruli Ahiles Hutapea berkata, seramai 393 penumpang menaiki kenderaan, manakala 27 lagi merupakan penumpang tanpa kenderaan.
“Penumpang yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat Merak dan Hospital Krakatau Medika. Penumpang lain ditempatkan sementara di Jeti 6,” katanya.
Feri kendalian syarikat milik kerajaan, PT ASDP Indonesia Ferry itu berlepas dari Pelabuhan Bakauheni di Lampung pada pukul 2.52 petang waktu tempatan dan sedang menghampiri Merak apabila asap serta percikan api dikesan kira-kira pukul 4.15 petang.
Pasukan penyelamat, anggota polis dan nelayan tempatan menggunakan beberapa bot kecil untuk memindahkan penumpang serta kru sebelum membawa mereka ke darat melalui beberapa lokasi pendaratan.
Kebakaran dipercayai bermula berhampiran bahagian buritan feri di dek atas yang digunakan untuk membawa kenderaan kecil.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kebakaran dan menilai jumlah kerugian akibat kejadian itu.-VIORY