
WASHINGTON, 21 Oktober – Amerika Syarikat (AS) telah membatalkan lebih 300,000 visa sejak Donald Trump memulakan penggal kedua sebagai presiden, menurut seorang pegawai kanan Jabatan Negara pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
- Jabatan Negara memberi amaran: hormati undang-undang atau keistimewaan perjalanan ke AS akan ditarik balik.
- Pembatalan visa disasarkan kepada warga asing yang terlibat kegiatan jenayah, penipuan atau menggugat keselamatan negara.
- Pentadbiran Trump dan Rubio menegaskan langkah ini melindungi negara, dan pembatalan dijalankan lebih pantas berbanding pentadbiran lain.
“Lebih 300,000 visa telah dibatalkan dan jumlah itu terus meningkat. Mesej kami kepada pemegang visa adalah mudah: hormati undang-undang kami atau hilang keistimewaan untuk melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat,” kata Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Konsular Mora Namdar menerusi platform X.
“Di bawah kepimpinan @POTUS (Presiden Trump) dan @SecRubio (Setiausaha Negara Marco Rubio), melindungi negara dan rakyat Amerika diutamakan, hari ini dan setiap hari,” tambahnya.
Beliau turut memuat naik hantaran White House yang menyatakan: “Pentadbiran Trump telah membatalkan lebih banyak visa dengan lebih pantas berbanding mana-mana pentadbiran dalam sejarah.”
Jurucakap Jabatan Negara Tommy Pigott turut berkata menerusi X bahawa pembatalan visa itu menyasarkan warga asing yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang atau menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.
“Kami sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan warga asing yang berada di negara ini menggunakan visa tetapi melanggar undang-undang, melakukan penipuan atau menggugat keselamatan negara kami,” katanya.- BERNAMA-ANADOLU