
BAGAN DATUK, 25 Oktober -Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan dengan MCA sebelum 31 Oktober ini bagi menyelesaikan isu berhubung pengumuman calon parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
- BN akan berbincang dengan MCA sebelum 31 Oktober untuk menyelesaikan isu calon PRN Melaka; Zahid belum menandatangani watikah pencalonan.
- Malaysia akan terus membantu Indonesia menangani jerebu rentas sempadan susulan kebakaran, setelah perbincangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan pemimpin Indonesia.
- Usaha pemadaman terjejas oleh jarak penglihatan terhad dan ketiadaan awan; Indonesia menggerakkan lebih 19,000 anggota serta pesawat dan helikopter.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata masih terdapat ruang untuk meneliti semula calon yang tidak dipersetujui kerana beliau belum menandatangani watikah pencalonan.
“Itu saya serahkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Pengerusi BN Melaka, kerana mungkin beliau telah berbincang dengan pengerusi dan kepimpinan MCA Melaka.
“Ada peluang lagi kalau calon itu tidak dipersetujui kerana saya belum menandatangani watikah.
“Jadi, saya serahkan kepada Presiden MCA untuk melakukan (perbincangan),” katanya demikian ketika ditemui pemberita pada Program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menjelaskan Malaysia
akan terus membantu Indonesia sedaya upaya bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan susulan kebakaran yang menjejaskan negara jiran itu, khususnya kesannya terhadap kesihatan penduduk.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas, selain turut mengadakan perbincangan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Wakil Presiden Gibran Rakabuming Raka
Beliau berkata kedua-dua pemimpin Indonesia itu memberikan maklum balas positif berhubung usaha menangani kebakaran yang menyumbang kepada keadaan jerebu.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Prabowo sendiri dan juga Wakil Presiden Gibran Rakabuming Raka dan mereka memberikan respons yang baik.
“Masalah yang berlaku ialah masalah jarak penglihatan dan juga ketiadaan awan,” katanya.
Beliau berkata usaha memadam kebakaran berdepan kekangan apabila pesawat tidak dapat beroperasi akibat jarak penglihatan yang terhad, manakala ketiadaan awan menyukarkan usaha menghasilkan hujan.
Katanya, Indonesia telah menggerakkan lebih 19,000 anggota serta sejumlah besar aset, termasuk kapal terbang dan helikopter, bagi menangani kebakaran berkenaan.
Beliau berkata Malaysia berharap masalah itu dapat diselesaikan segera memandangkan jerebu boleh menjejaskan kesihatan, khususnya dalam kalangan individu yang mengalami alahan dan penyakit berkaitan pernafasan.