
KUCHING, 25 Oktober – Jerebu rentas sempadan kembali menyelubungi selatan Sarawak dengan empat kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat tengah hari ini.
- Peralihan Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut menyebabkan angin tidak stabil, menjejaskan pergerakan jerebu.
- Keadaan angin berubah-ubah dan belum mencapai tahap optimum, menyebabkan jangkaan jerebu berlanjutan sehingga kira-kira sebulan.
- IPU tinggi dilaporkan di Serian, Kuching, Samarahan dan Sri Aman; jarak penglihatan di Kuching bertambah terhad.
Pengarah Jabatan Meteorologi Sarawak Khairul Najib Ibrahim berkata keadaan berkenaan turut dipengaruhi perubahan Angin Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut yang masih belum stabil.
Beliau berkata dalam tempoh peralihan monsun berkenaan, arah dan kekuatan angin sentiasa berubah-ubah serta belum mencapai tahap optimum untuk membawa keluar jerebu dari kawasan terjejas.
“Angin ini beransur-ansur berubah daripada arah barat daya ke arah timur laut.
“Dalam tempoh perubahan itu, angin tidak stabil dan arahnya kadang-kadang dari barat daya, kadang-kadang dari pelbagai arah,” katanya ketika dihubungi RTM di sini.
Khairul berkata keadaan itu dijangka berlarutan dalam tempoh sebulan sehingga peralihan monsun berkenaan selesai.
Beliau mengulas keadaan kualiti udara di Sarawak selepas bacaan IPU di empat kawasan kembali meningkat sejak semalam.
Sementara itu, setakat 12 tengah hari tadi, Serian mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu 194, menghampiri tahap sangat tidak sihat, diikuti Kuching (188), Samarahan (182) dan Sri Aman (159).
Tinjauan RTM di sekitar Kuching pagi tadi turut mendapati jarak penglihatan semakin terhad di kebanyakan lokasi susulan keadaan berjerebu.