
KENINGAU, 25 Oktober – Malaysia akan mempengerusikan Jawatankuasa Subrantau Mengenai Jerebu Rentas Sempadan ASEAN tahun depan sebagai langkah memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani isu pencemaran jerebu.
- Merancang penambahbaikan bagi mempergiat langkah pencegahan jerebu.
- Pendekatan reaktif dianggap tidak mencukupi untuk menangani masalah jerebu.
- Kepimpinan subrantau akan dimanfaatkan untuk memperkukuh usaha pencegahan jerebu rentas sempadan.
- Malaysia sentiasa bersedia menawarkan bantuan kepada Indonesia menangani kebakaran hutan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata Malaysia sedang merancang beberapa penambahbaikan bagi mempergiat langkah pencegahan, susulan pendekatan reaktif yang dilihat tidak mencukupi untuk menangani masalah berkenaan.
Menurut beliau, kepengerusian itu akan dimanfaatkan bagi memperkukuh usaha pencegahan supaya isu jerebu rentas sempadan dapat ditangani dengan lebih berkesan pada masa hadapan.
“Malaysia yang pada tahun hadapan akan menjadi pengerusi kepada Subregional Committee on Transboundary Haze ASEAN, sedang merancang beberapa penambahbaikan supaya kita boleh mengambil usaha secara preventif pada masa-masa akan datang.
“Ini kerana kita melihat reaksi secara reaktif tidak cukup untuk menangani masalah ini,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Memperkasa Komuniti Alam Sekitar sempena Hari Alam Sekitar Negara 2026 di Kampung Magatang, di sini.
Dalam pada itu katanya, Malaysia juga sentiasa bersedia menawarkan bantuan kepada Indonesia, selaku rakan dalam ASEAN, bagi menangani isu jerebu susulan kebakaran hutan.