Langgar lari: Kerajaan teliti hukuman lebih berat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Kerajaan akan meneliti keperluan untuk memperketatkan hukuman terhadap pemandu yang melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Galakan penggunaan kamera papan pemuka untuk membantu polis mengumpul bukti dalam kes kemalangan termasuk langgar lari.
  • Rakaman dashcam boleh membuktikan kejadian dan memudahkan siasatan walaupun pemasangan belum diwajibkan.
  • Penilaian dasar dan keberkesanan penguatkuasaan diperlukan untuk memperkukuh tanggungjawab pengguna jalan raya serta melindungi mangsa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penggunaan kamera papan pemuka atau ‘dashcam’ turut digalakkan bagi membantu pihak polis mendapatkan bukti dan menjalankan siasatan, khususnya dalam kes langgar lari.

“Pada masa ini, semakin ramai pengguna jalan raya memasang kamera papan pemuka (dashcam) yang banyak membantu dalam memberikan bukti sekiranya berlaku kemalangan, termasuk kes langgar lari.

“Rakaman tersebut dapat membantu membuktikan kejadian yang berlaku dan memudahkan pihak polis menjalankan siasatan. Dalam usaha memperketatkan undang-undang, kerajaan akan meneliti dasar sedia ada bagi menentukan sama ada hukuman terhadap kesalahan langgar lari perlu diperketatkan lagi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, berhubung langkah kerajaan untuk memperketatkan penguatkuasaan dan hukuman terhadap pemandu yang melakukan kesalahan langgar lari di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tambah Anthony, rakaman ‘dashcam’ boleh dijadikan bukti penting serta mengenal pasti kejadian sebenar dan menyokong siasatan pihak polis, walaupun pemasangannya tidak diwajibkan ketika ini.

Sehubungan itu, penilaian terhadap hukuman sedia ada dan keberkesanan penguatkuasaan perlu diberi perhatian bagi memperkukuh tanggungjawab pengguna jalan raya serta melindungi mangsa kemalangan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.