
SEPANG, 21 Oktober – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan serta doa yang diberikan sepanjang beliau menjalani proses undang-undang.
- Semua proses mahkamah diserahkan sepenuhnya berhubung pertuduhan kepada pihak mahkamah.
- Didakwa mengikut Seksyen 323 kerana menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di KLIA pada 28 September; beliau mengaku tidak bersalah.
- Mahkamah benarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin; pengurusan kes ditetapkan 25 November; beliau akan terus bertugas selagi tiada arahan.
Sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk menerusi mesej pesanan ringkas, memberikan kekuatan dan keyakinan kepadanya untuk meneruskan proses itu.
Kesemua proses mahkamah diserahkan sepenuhnya berhubung pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Sepang hari ini.
“Saya ingin menyatakan jutaan terima kasih kepada seluruh lapisan masyarakat yang memberi sokongan daripada sudut doa mahupun mesej pesanan ringkas. Ini memberikan kekuatan dan keyakinan untuk saya meneruskan proses ini.
“Hari ini merupakan hari terakhir saya dalam fasa proses ini dan selepas selesai sahaja prosiding berkenaan, pihak peguam saya akan memberikan maklum balas serta jawapan selanjutnya,” katanya dalam satu sidang media sebelum prosiding mahkamah bermula.
Datuk Seri Mohd Shuhaily didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 28 September lalu.
Dalam pada itu, beliau menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut.
Sementara itu, salah seorang peguam yang mewakili Datuk Seri Mohd Shuhaily selaku orang kena saman (OKS), Datuk Rosal Azimin Ahmad berkata anak guamnya akan bertugas seperti biasa sehingga diberitahu sebaliknya.
Sebarang keputusan akan tertakluk kepada pihak berkaitan termasuk bawah perkhidmatan awam.
“Setakat ini tiada sebarang arahan dan sebagai penjawat awam, beliau tetap akan bertugas sehinggalah diberitahu sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai prosiding pendakwaan membabitkan OKS di Mahkamah Majistret di sini.
Terdahulu, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis pada bulan lalu.
Datuk Seri Mohd Shuhaily, 54 tahun, selaku OKS membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Khairatul Animah Jelani serta memohon untuk dibicarakan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Manakala, Datuk Seri Mohd Shuhaily diwakili oleh lapan peguam diketuai Kitson Foong.
Bagi kedua-dua pertuduhan, mahkamah membenarkan Datuk Seri Shuhaily diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 25 November depan bagi pengurusan kes berkenaan.