Tan Sri didakwa empat pertuduhan menipu RM10 juta

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Oktober -Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan menipu ahli perniagaan bergelar Datuk Seri bagi membantu menyelesaikan masalah akaun bank dibekukan serta siasatan kes polis melibatkan wang lebih RM10 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
  • Didakwa menipu Datuk Seri Keh Chuan Seng bagi membantu selesaikan akaun bank dibekukan dan siasatan di bawah AMLA.
  • Mangsa menyerahkan wang tunai pelbagai denominasi melalui rakan; transaksi berlaku antara 23 hingga 25 Mac 2025.
  • Mahkamah benarkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin; syarat melaporkan pergerakan ke luar negara.

Tertuduh, Tan Sri Tan Kean Soon, 62 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, lelaki itu didakwa telah menipu ahli perniagaan Datuk Seri Keh Chuan Seng, 55 tahun, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu menyelesaikan masalah akaun bank peribadi dan syarikat mangsa yang dibekukan pihak polis.

Di samping siasatan polis membabitkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM2 juta, RM3 juta, SGD 1.5 juta dan RM500,000 kepada tertuduh melalui rakan mangsa, Datuk Seri Chiau Beng Teik.

Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing di tempat letak kereta di Kuchai Lama, Dataran Maybank Bangsar, Hotel Pavilion dan Kampung Pandan di sini antara 23 dan 25 Mac 2025.

Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfauzani Mohd Nordin.

Manakala,tertuduh diwakili peguam,Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, selain mengambil kira jumlah keseluruhan wang yang terlibat dalam kes berkenaan iaitu RM10 juta.

Namun,mencadangkan jaminan sebanyak RM2 juta dengan syarat tambahan pasport tertuduh tidak diambil serta perlu melaporkan pergerakan ke luar negara kepada mahkamah dan pihak pendakwaan melalui surat dan e-mel

Peguamnya memohon supaya jaminan dikurangkan pada RM1 juta, atas alasan anak guamnya perlu berulang-alik ke Singapura bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat supaya lelaki itu memaklumkan pergerakannya ke luar negara kepada mahkamah dan pihak pendakwaan.

Sebutan kes ditetapkan pada 11 Januari 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.