Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dipenjara

Foto Fail RTM

KUANTAN, 21 Oktober – Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh Mohd Azhar Mohd Yusoff, hari ini dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesemua 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 antara 2019 hingga 2023.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah menjatuhkan hukuman selepas pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
  • Pelaksanaan hukuman ditangguhkan; jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan sehingga proses seterusnya.
  • Peguam bela mohon hukuman denda sahaja kerana sabitan memberi kesan serius, termasuk kemungkinan dipecat dan kehilangan pencen.
  • Timbalan pendakwa raya mohon hukuman penjara dan denda tinggi kerana penyalahgunaan kedudukan yang menjejaskan kepercayaan awam terhadap PDRM.

Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Azhar, 56, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Sazlina membenarkan permohonan Mohd Azhar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga proses seterusnya.

Terdahulu, peguam Datuk M. Athimulan memohon supaya anak guamnya hanya dikenakan hukuman denda kerana sabitan kesalahan itu memberi kesan serius, termasuk kemungkinan dipecat daripada perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kehilangan hak pencen.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Abd Razak memohon hukuman penjara dan denda yang tinggi, dengan mengambil kira kedudukan tertuduh sebagai pegawai kanan polis serta keseriusan kesalahan dilakukan.

Mohd Radzi berkata tertuduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Polis Daerah Temerloh untuk menerima wang daripada pihak tertentu, sekali gus menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap penjawat awam, khususnya PDRM.

Pada 29 Jun, mahkamah memerintahkan Mohd Azhar membela diri atas kesemua 46 pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.