
RANTAU PANJANG, 22 November – Cubaan membawa masuk 975 pokok hiasan jenis Bromeliad dari Thailand bernilai RM48,750 terbongkar selepas dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pengkalan Haram Kedap malam tadi.
- Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di tebing sungai selepas ditemukan kotak berisi anak pokok.
- Anggota PGA mendapati kotak mengandungi pokok hiasan dipercayai milik suspek dan akan dihantar kepada pelanggan melalui kurier.
- Semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk pemeriksaan lanjut; kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan bersama kesemua kotak berisi pokok bunga di tebing sungai.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA mendapati kotak berkenaan mengandungi ratusan pokok hiasan yang dipercayai milik lelaki terbabit.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit membawa masuk anak pokok berkenaan dari Thailand ke Malaysia untuk dihantar kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu, Kelantan untuk pemeriksaan lanjut berikutan pokok berkenaan disyaki mempunyai penyakit serta perosak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
