Angeline raih perak, Noor Askuzaimey gangsa acara boccia

Angeline Melissa Lawas/ Foto FB Paralympic Council Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Atlet boccia negara Angeline Melissa Lawas dan Noor Askuzaimey Mat Salim menceriakan kem Malaysia apabila masing-masing meraih pingat perak dan gangsa pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Angeline tewas 4-5 kepada wakil Indonesia Handayani dalam final BC1 selepas Handayani bangkit di end terakhir.
  • Pingat gangsa kategori BC1 dimenangi oleh atlet Singapura Jeralyn Tan Yee Ting.
  • Noor Askuzaimey raih gangsa BC4 setelah menewaskan China Lin Ximei 6-5 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
  • Avrinda Anis tewas tipis 4-5 kepada Korea Selatan Ahyoung Choi dalam penentuan pingat gangsa BC2.

Pada saingan akhir kategori BC1 wanita di Nagoya General Gymnasium, Angeline terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tewas 4-5 kepada wakil Indonesia Handayani yang bangkit mencatat kemenangan pada end terakhir untuk meraih emas.

Angeline yang mempamerkan aksi bertenaga berjaya mengutip mata pada end kedua dan ketiga, namun gagal mempertahankan kelebihan apabila Handayani bangkit pada penghujung perlawanan.

Pingat gangsa menjadi milik atlet Singapura Jeralyn Tan Yee Ting.

Sementara itu, Noor Askuzaimey menyumbang gangsa dalam kategori BC4 wanita selepas menewaskan wakil China Lin Ximei, 6-5 pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

Pingat emas dan perak masing-masing dimenangi atlet Hong Kong Vivian Lau serta Yuen Cheung.

Hasrat Avrinda Anis untuk menambah koleksi pingat negara bagaimanapun tidak kesampaian apabila tewas tipis 4-5 kepada wakil Korea Selatan Ahyoung Choi dalam penentuan pingat gangsa kategori BC2 wanita. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.