MAKAF kota janji, Adeola dan Shahmalarani terima e.MAS 5

Foto RTM

SUBANG, 21 Oktober – Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mengotakan janji apabila menghadiahkan kereta Proton e.MAS 5 kepada dua wira negara, Adeola Fay Robert dan Shahmalarani Chandran, susulan kejayaan mereka merangkul pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • MAKAF hargai pengorbanan atlet dan berikan insentif sebagai pengiktirafan, kata Presiden Datuk Nur Azmi Ahmad.
  • Adeola bersyukur dan berazam terus berlatih untuk perbaiki kelemahan menjelang kejohanan akan datang termasuk AUG Disember.
  • MAKAF beri ganjaran tunai kepada lima pemenang gangsa dan sasar sekurang-kurangnya enam pingat emas pada Sukan SEA 2027.

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pemberian insentif itu sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan kedua-dua atlet wanita berkenaan yang membantu skuad karate negara membawa pulang dua pingat emas dan tiga gangsa dari Jepun.

Menurut beliau, ganjaran itu bukan sekadar dinilai dari sudut material, sebaliknya merupakan pengiktirafan terhadap semangat atlet dalam mengharumkan nama negara.

“Bagi saya, bukan harga kereta itu yang penting, tetapi semangat atlet berkenaan. Membantu negara mendapatkan pingat emas jauh lebih penting,” katanya dalam Majlis Penghargaan Skuad Karate Negara, di sini.

Adeola Fay Robert

Sementara itu, Adeola menyifatkan pemberian berkenaan sebagai penghargaan bermakna, sambil melahirkan rasa syukur kepada MAKAF dan semua pihak yang menyokong perjalanan kariernya.

“Perasaan saya sangat gembira dan bersyukur. Terima kasih kepada persatuan, MAKAF, Datuk Nur Azmi dan semua. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Atlet itu berkata, dia tidak mahu terlalu selesa dengan kejayaan di Nagoya, sebaliknya akan meneruskan latihan bagi memperbaiki kelemahan menjelang kejohanan akan datang, termasuk Sukan Universiti ASEAN (AUG) pada Disember ini.

Menurut bakal guru berasal dari Sabah itu, kejayaan meraih emas Sukan Asia meningkatkan keyakinan dan motivasinya untuk terus memberikan persembahan terbaik demi negara.

Shahmalarani Chandran

Shahmalarani pula melahirkan rasa syukur apabila kejayaan mereka turut diraikan keluarga, khususnya ibunya yang selama ini menjadi tulang belakang perjalanan kariernya.

Katanya, kehadiran keluarga pada majlis berkenaan menjadi kejutan bermakna memandangkan ibunya jarang tampil di khalayak ramai meskipun sentiasa memberikan sokongan di belakang tabir.

“Dia sentiasa menjadi tulang belakang saya dan tidak pernah mencari perhatian. Saya gembira kerana dapat menunjukkan bahawa dia sentiasa bersama saya sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Nur Azmi memaklumkan, MAKAF turut memberikan ganjaran wang tunai kepada lima atlet yang memenangi pingat gangsa, dengan jumlah keseluruhan insentif tunai rasmi dianggarkan melebihi RM30,000.

Mengulas mengenai sasaran Sukan SEA 2027 di Malaysia, beliau berkata MAKAF menyasarkan sekurang-kurangnya enam pingat emas dalam genggaman, dengan jumlah kategori yang akan dipertandingkan masih tertakluk kepada perbincangan bersama negara peserta.

“Kita pernah memperoleh tujuh pingat emas pada Sukan SEA 2017. Jadi, karate sememangnya antara penyumbang pingat negara dan kita mahu menambah sumbangan untuk membantu Malaysia menjadi juara keseluruhan pada 2027,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.