
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Skuad berbasikal para negara gagal menambah pungutan pingat pada hari ketiga Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas tidak meraih sebarang pingat dalam acara ujian masa di Cycle Sports Center 5km Circuit Course hari ini.
- Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menamatkan acara ujian masa lelaki C1-5 di tempat keenam dengan masa 27:06.38.
- Mohd Khairul Hazwan Wahab dan jurumudi Muhammad Nabil Wafiq Zamri menduduki tempat ketujuh acara lelaki B masa 44:28.05.
- Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudi Nurul Suhada Zainal tamat di tempat ketujuh acara wanita B masa 47:44.92.
- Sebelum ini Malaysia mengumpul lima pingat; satu emas, dua perak, dua gangsa, termasuk emas pertama oleh Zuhairie Ahmad Tarmizi.
Dalam acara ujian masa lelaki C1-5 (kecacatan fizikal), Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan masa 27 minit 06.38 saat (s).
Pingat emas menjadi milik wakil Jepun Shota Kawamoto yang mencatat masa 25:15.01s manakala Bunyod Khayitmakhammadov dari Uzbekistan (25:39.46s) dan Liang Weicong dari China (26:03.58s) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.
Dalam acara ujian masa lelaki B (kecacatan penglihatan), Mohd Khairul Hazwan Wahab bersama jurumudi Muhammad Nabil Wafiq Zamri menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa 44:28.05s.
Kazakhstan meraih pingat emas dan perak menerusi gandingan Nail Yermukhanbet/Ruslan Aliyev (34:09.17s) dan Kirill Ilyukevich/Gleb Brussenskiy (35:26.64s) manakala gandingan Indonesia Nur Fendi/Mufti Fadilah Salma memenangi pingat gangsa dengan catatan masa 40:00.00s.
Malaysia turut menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam acara ujian masa wanita B menerusi Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudi Nurul Suhada Zainal yang mencatat masa 47:44.92s.
Gandingan Kazakhstan Anastassiya Kalaus/Polina Bratchikova meraih pingat emas dengan catatan masa 32:21.54s, diikuti gandingan Uzbekistan Robiyakhon Toshpulatova/Olga Zabelinskaya (32:45.82s) yang memenangi perak manakala gandingan Singapura Cheng Jui Tan/Sarah Hui Zhen Tan (34:31.92s) meraih gangsa.
Walaupun gagal meraih sebarang pingat hari ini, skuad berbasikal negara sebelum ini telah mengumpul lima pingat, terdiri daripada satu emas, dua perak dan dua gangsa dalam tempoh dua hari pertama pertandingan.
Zuhairie Ahmad Tarmizi menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada temasya itu menerusi acara ujian masa 1,000 meter lelaki C4-C5 yang turut menjadi pingat pertama negara pada temasya berkenaan.
Sukan Para Asia Aichi-Nagoya yang secara rasmi membuka tirainya pada Ahad akan berlangsung hingga 24 Oktober. -BERNAMA