Ahmad Fizzi, Noorhelmie sumbang gangsa olahraga

Ahmad Fizzi Rosni/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Atlet olahraga para negara Ahmad Fizzi Rosni dan Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi masing-masing menyumbang satu pingat gangsa pada hari ketiga Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ahmad Fizzi Rosni tempat ketiga 400m T36 dengan 56.68s; emas Doston Kahhorov 54.42s.
  • Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi tempat ketiga 100m T12 dengan 11.16s; emas Ryutaro Kuno 10.85s.
  • Rozabell Rozell Parinus tamat keempat 100m T36 wanita dan terlepas podium.

Pada aksi di Mizuho Park Athletic Stadium, Nagoya City, Ahmad Fizzi yang beraksi dalam acara 400 meter (m) T36 lelaki menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 56.68 saat (s).

Pingat emas menjadi milik atlet Uzbekistan Doston Kahhorov yang mencatat masa 54.42s manakala wakil tuan rumah Takeru Matsumoto meraih perak (56.12s).

Sementara itu, Muhammad Noorhelmie meraih gangsa dalam acara 100m T12 lelaki selepas mencatat masa 11.16s.

Dua atlet tuan rumah Ryutaro Kuno dan Daiki Ishiyama masing-masing memenangi emas serta perak selepas mencatat masa 10.85s dan 10.92s.

Seorang lagi atlet negara Rozabell Rozell Parinus bagaimanapun terlepas peluang menaiki podium selepas menamatkan saingan 100m T36 wanita di tempat keempat. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.