
KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Seramai 886 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak diperkenalkan pada April 2023, dengan jumlah sumbangan terkumpul sebanyak RM2,612,790.
- Timbalan Menteri maklum 280 pengamal media telah menerima manfaat setakat ini dengan sasaran 300 penerima tahun ini; hubungi pejabat, FINAS atau Bernama untuk bantuan.
- 116 pengamal media menerima bantuan melalui Tabung Kasih@HAWANA X TM sejak kerjasama dengan TM, melibatkan sumbangan RM361,300.
- FINAS meneruskan inisiatif Ziarah Seni MADANI@FINAS; sejak 2023, 250 penggiat seni menerima manfaat, jumlah sumbangan RM180,700.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memaklumkan, 280 pengamal media telah menerima manfaat setakat ini dengan sasaran 300 penerima bagi tahun ini.
“Kebajikan pengamal media terus diberi perhatian menerusi inisiatif berkenaan bagi membantu mereka yang memerlukan.
“Jadi untuk mereka yang memerlukan bantuan, sila hubungi pejabat saya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan kami sedia membantu pada bila-bila masa,” katanya selepas Majlis Apresiasi Media Minnal FM di Menara Kuala Lumpur.
Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Teo turut memaklumkan seramai 116 pengamal media menerima bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA X TM sejak kerjasama strategik dengan Telekom Malaysia (TM) pada Jun lepas, melibatkan sumbangan berjumlah RM361,300.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada tujuh pengamal media yang berdepan masalah kesihatan serta kesempitan hidup.
Penerima sumbangan termasuk pembantu penerbit Thisaigal, S. Murugesan, bekas editor Vanakam Malaysia, K.Padmanabhan; bekas editor Tamil Malar, K. Maniam, bekas wartawan Malaysia Nanban A.S. Rajeswaran, penerbit rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Saritha dan jurukamera RTM, Norfazreen Ezny Onn.
Beliau dalam pada itu memaklumkan, Kementerian Komunikasi menerusi FINAS meneruskan inisiatif Ziarah Seni MADANI@FINAS bagi membantu artis veteran dan penggiat seni yang berdepan masalah kesihatan, keuzuran atau kecemasan.
“Sejak 2023 hingga 25 Oktober lepas, seramai 250 penggiat seni telah menerima manfaat menerusi inisiatif itu, dengan sumbangan keseluruhan berjumlah RM180,700,”katanya lagi.
Pada majlis sama, Teo menyampaikan sumbangan kepada lima penggiat seni kaum India sempena sambutan Deepavali menerusi inisiatif berkenaan sebagai tanda keprihatinan kepada kebajikan mereka.