RTMKlik catat 11.08 juta muat turun

RTM terus memainkan peranan sebagai jambatan antara rakyat dengan kerajaan melalui penyampaian maklumat sahih

KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Platform penstriman digital RTMKlik mencatatkan sebanyak 11.08 juta muat turun setakat hari ini, sekali gus mencerminkan perkembangan positif usaha pendigitalan penyiar nasional itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTMKlik capai 37.3 juta pendengar sejak 1 Jan hingga 17 Okt, menunjukkan perluasan capaian radio RTM melalui platform digital.
  • Minnal FM catat 9.48 juta pendengar pada tempoh sama, menempatkannya di tempat kedua selepas Radio Klasik.
  • Ucapan tahniah kepada warga RTM dan Minnal FM atas pencapaian, harapan agar pendigitalan penyiaran diteruskan.
  • RTM terus menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan dengan menyampaikan maklumat sahih dan memelihara budaya.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, berdasarkan laporan Triton Digital Webcast sejak 1 Januari hingga 17 Oktober lepas, angka pendengar stesen radio Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi RTMKlik mencecah sebanyak 37.3 juta.

“Pencapaian itu membuktikan kepentingan platform digital dalam memperluas capaian kandungan radio RTM kepada pendengar, seiring perubahan corak penggunaan media masa kini.

“Tahniah saya ucapkan kepada RTM, saya percaya pada zaman ini RTM masih mampu dan akan kekal menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan dengan informasi sahih yang disampaikan kepada rakyat.

“Pada masa sama menjadi satu platform untuk memupuk dan memelihara budaya kita,”katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media Minnal FM di Menara Kuala Lumpur, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Dalam pada itu, Teo berkata, Minnal FM turut mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan 9.48 juta pendengar menerusi platform berkenaan pada tempoh sama.

“Pencapaian itu meletakkan Minnal FM di tempat kedua dalam kalangan stesen radio RTM, selepas Radio Klasik yang merekodkan 10.86 juta pendengar,”katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada warga RTM, khususnya pasukan Minnal FM atas pencapaian berkenaan dan berharap usaha memperkukuh penyiaran digital dapat diteruskan.

Katanya, RTM terus memainkan peranan sebagai jambatan antara rakyat dengan kerajaan melalui penyampaian maklumat sahih, selain menjadi platform bagi memupuk dan memelihara budaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.