
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Kerajaan mahu memastikan pelaburan besar dalam pembangunan infrastruktur rel negara turut memacu industri tempatan menerusi pengukuhan rantaian bekalan, pemasangan tren dan pembuatan komponen dalam negara.
- Memajukan ekosistem industri supaya Malaysia bukan sekadar pengguna perkhidmatan rel, malah menjana pertumbuhan ekonomi.
- 17 memorandum persefahaman dan perjanjian dimeterai sempena TXA 2026 untuk memodenkan infrastruktur pengangkutan negara.
- Kerjasama menumpukan kepada R&D rel dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan industri.
- TXA menjadi platform bagi kerjasama strategik, memperkenalkan teknologi serta memperbaiki keselamatan dan kecekapan operasi pengangkutan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu penting bagi memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna perkhidmatan rel, malah membangunkan ekosistem industri yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, perkara itu antara fokus 17 memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian yang dimeterai sempena Transport Expo Asia (TXA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
“Kita bukan sahaja mahu menjadi pengguna, tetapi juga membangunkan industri supaya sektor pembekalan dapat menjana ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran MoU dan dokumen perjanjian itu, di sini.
Sebanyak 17 dokumen kerjasama dimeterai sempena pameran itu, mencerminkan usaha berterusan untuk memodenkan infrastruktur pengangkutan negara selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.
Menurutnya, sebahagian besar kerjasama berkenaan melibatkan sektor rel, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta usaha meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan industri.
Katanya, projek seperti Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru bernilai RM10 bilion, Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Dua bernilai lebih RM5 bilion dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai lebih RM50 bilion membuka peluang kepada pembangunan industri sokongan tempatan.
Dalam perkembangan sama, Anthony berkata, TXA menjadi platform kepada pemain industri untuk menjalinkan kerjasama strategik, memperkenalkan teknologi serta membangunkan penyelesaian bagi meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi pengangkutan.
Pameran itu merangkumi sektor pengangkutan darat, udara, maritim dan logistik, termasuk teknologi kenderaan autonomi, robotik serta pesawat tanpa pemandu.
Beliau berharap, TXA dapat dijadikan acara dwitahunan Kementerian Pengangkutan bagi menarik lebih banyak syarikat dan pengunjung perdagangan pada edisi akan datang.