
CYBERJAYA, 21 Oktober – Penyedia perkhidmatan penstriman video termasuk Over-the-Top (OTT) dan Video-on-Demand (VOD), perlu menyediakan langkah perlindungan yang berkesan khususnya bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan yang tidak sesuai.
- Penyedia perlu melaksanakan semakan kandungan dalaman, pengelasan umur, kawalan ibu bapa dan mekanisme aduan yang mudah diakses.
- Perbincangan ambil kira perbezaan kawal selia antara OTT/VOD dan penyiaran konvensional untuk mencari penambahbaikan praktikal.
- MCMC bekerjasama dengan industri, FINAS dan JAKIM untuk penguatkuasaan undang-undang, pematuhan kod kandungan dan tanggungjawab bersama.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan memaklumkan, perkara itu diberi penekanan semasa sesi libat urus bersama penyedia perkhidmatan penstriman video anjuran bersama Content Forum.
“Langkah ini merangkumi semakan kandungan dalaman, pengelasan umur yang bersesuaian, kawalan ibu bapa dan mekanisme pengendalian aduan yang mudah diakses,” menurut suruhanjaya itu.
Sesi libat urus turut mengambil kira perbezaan kerangka kawal selia antara perkhidmatan OTT dan VOD dengan penyiaran konvensional, di samping memberi ruang kepada pemain industri untuk mendapatkan penjelasan, berkongsi pandangan dan meneroka langkah penambahbaikan yang praktikal.
Antara pihak industri yang menyertai sesi libat urusan tersebut ialah Netflix, Apple TV, Motion Picture Association (MPA), Asia Video Industry Association (AVIA), Astro (Astro GO dan Sooka), iQIYI, Media Prima Berhad (Tonton), MYTV Mana-Mana, Unifi TV dan Viu.
“Penyertaan ini mencerminkan penglibatan meluas penyedia kandungan serta persatuan industri tempatan dan antarabangsa.
“Keahlian AVIA turut merangkumi pemain industri antarabangsa utama seperti Disney, Amazon dan Warner Bros. Discovery (WBD),” katanya.
MCMC turut menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan perlu mengurus kandungan secara bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang Malaysia yang berkuat kuasa.
Sementara itu, sesi tersebut turut melibatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Perbincangan bersama FINAS dan JAKIM merangkumi pematuhan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta garis panduan dan amalan pengelasan kandungan yang berkaitan.
Sesi libat urus itu selaras dengan penekanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bahawa kebebasan berkarya perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab menghormati nilai agama, keharmonian kaum dan sensitiviti budaya yang menjadi asas perpaduan negara.
MCMC dan Content Forum akan terus bekerjasama dengan industri bagi memperkukuh kawal selia kendiri, perlindungan pengguna dan akauntabiliti bersama.
Bagaimanapun, tindakan kawal selia yang sewajarnya akan tetap diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.