
PUTRAJAYA, 25 Oktober – Anugerah Seri Angkasa (ASA) bukan sekadar mengiktiraf pencapaian pemenang, sebaliknya turut menghargai sumbangan seluruh warga industri penyiaran dan kreatif, termasuk tenaga kerja di belakang tabir.
- Kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi akan memperkasa ekosistem kreatif dengan pembiayaan, peluang kepada bakat baharu dan galakan kandungan tempatan berkualiti.
- Dana Kandungan Kreatif RM15 juta disediakan untuk buka peluang kepada bakat baharu, kerjasama antarabangsa, artis veteran dan pengeluaran mikrodrama.
- Permohonan bagi enam kategori FINAS dibuka mulai 16 November melalui Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif; syarat serta tatacara diumumkan rasmi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, peranan penggiat industri itu penting dalam menyampaikan maklumat, menghasilkan hiburan berkualiti serta memperkukuh identiti dan ekonomi kreatif negara.
Sehubungan itu, kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi akan terus memperkasa ekosistem industri kreatif dengan menyediakan kemudahan pembiayaan, membuka peluang kepada bakat baharu serta menggalakkan penghasilan kandungan tempatan yang berkualiti dan berdaya saing.
Menurut beliau, komitmen itu diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif, antaranya melalui penyediaan Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM15 juta bagi memperluas peluang kepada penggiat industri.
“Dana berjumlah RM15 juta ini bertujuan membuka peluang kepada bakat baharu, memperluas kerjasama antarabangsa, memberi ruang kepada artis veteran untuk terus berkarya dan menggalakkan penghasilan kandungan baharu seperti mikrodrama bagi memenuhi keperluan pasaran digital,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersempena Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026, di sini.
Datuk Seri Fahmi turut mengumumkan, permohonan dana berkenaan bagi enam kategori di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan dibuka mulai 16 November ini.
Enam kategori berkenaan ialah Dana Kerjasama Antarabangsa bagi filem cerita atau cerita animasi, Dana First-Time Filmmaker (FAME), Dana Program TV Supertelefilem, Dana Penerbitan Mikrodrama untuk stesen penyiar atau platform OTT, Dana Supertelefilem Artis Veteran (STAR) serta Dana Penerbitan Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kenegaraan.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) FINAS.
Maklumat lanjut berhubung syarat kelayakan dan tatacara permohonan akan diumumkan melalui saluran rasmi FINAS.