ASA 2026: Bakat dan karya warga RTM terus diiktiraf

Foto RTM

PUTRAJAYA, 25 Oktober – Radio Televisyen Malaysia (RTM) meraih 13 lagi anugerah daripada 30 kategori yang dipertandingkan pada Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiktirafan buat penyampai Radio Klasik Azlan Omar sebagai Penyampai Radio Lelaki Terbaik.
  • Dyya Nawai dinobatkan Penyampai Radio Wanita Terbaik, dedikasi bangun awal dipuji untuk hiburkan pendengar pagi.
  • Otto Othman menang Penyampai Berita TV Terbaik dan bersyukur atas pengiktirafan pertama beliau.
  • Karya televisyen dan dokumentari RTM diiktiraf termasuk Drama TV Selampai Labung dan Dokumentari 'Di Sebalik Bayangan Harimau'.

Daripada jumlah tersebut, lima anugerah dimenangi menerusi kategori radio iaitu Skrip Drama Radio Terbaik, Pelakon Drama Radio Terbaik serta Hiburan Radio Terbaik.

Penyampai Radio Klasik, Azlan Omar sekali lagi dinobatkan sebagai Penyampai Radio Lelaki Terbaik, selepas memenangi kategori itu pada 2022.

Azlan Omar

“Radio adalah makanan sebenarnya. Makanan halwa telinga. Kita di radio bukan hanya bermain dengan suara, kita juga bermain dengan kata-kata dan juga bermain dengan lagu dan sebagainya. Jadi, banyak yang boleh kita gunakan untuk hasilkan sesuatu yang kreatif,untuk kita hidangkan kepada pendengar,” katanya.

Sementara itu, kategori Penyampai Radio Wanita Terbaik diungguli oleh penyampai NASIONALfm, Dyya Nawai yang turut berkongsi persediaannya setiap hari sebagai penyampai segmen 3 Suara.

Dyya Nawai

“Fizikal dan mental semestinya penting sebab saya bersiaran seawal pukul 6 pagi. Tapi apa yang orang dengar pada pukul 6 pagi hanyalah suara saya di radio, sedangkan saya perlu bangun seawal pukul 3.30 pagi, setiap hari, bertahun-tahun lamanya.

“Kita kena pastikan tenaga kita sentiasa ada supaya kita dapat berikan tenaga kepada orang lain. Walaupun mereka tak nampak wajah kita, hanya mendengar suara, mereka dah tahu, ‘Oh, inilah waktu pagi yang menceriakan!’

“Kita kena mulakan hari dengan sesuatu yang ceria, baik dan positif. Dan itulah yang saya cuba bawakan menerusi 3 Suara,” katanya yang turut mendedikasikan kemenangan itu kepada dua rakan setugas iaitu Dj Sonic dan Nazri Fahmi serta seluruh warga kerja NASIONALfm.

RTM turut memenangi kategori Skrip Drama Radio Terbaik Syawal Yang Terluka karya Mohd Rohizan Ramli – PERLISfm, Pelakon Drama Radio Terbaik menerusi lakonan Fadilah Mansor dalam Hujan Teduh – NASIONALfm, Liputan Khas Siaran Langsung Terbaik (Nur Ashidah Abdul Hamid) serta Hiburan Radio Terbaik yang dimenangi penerbit dari SABAHfm, Ranlah@Ramlah Othman menerusi Konsert Gagar Merdeka Keehoi 2024.

Dalam kategori televisyen pula, RTM terus menyerlah menerusi kemenangan Otto Othman sebagai Penyampai Berita TV Terbaik.

Otto Othman

“Syukur kepada Allah SWT kerana memberikan rezeki ini kepada saya. Saya sebenarnya tak pernah menang apa-apa anugerah sebelum ini. Pernah dicalonkan sekali pada tahun 2011 bagi kategori Dokumentari Radio Terbaik dan kali ini, pada tahun 2026, akhirnya…I won! Saya berjaya memenangi anugerah Penyampai Berita TV Terbaik,” katanya.

Penerbit SABAHfm, Baharunnurdalila Baharuddin pula mengungguli kategori Dokumentari TV Terbaik menerusi karya ‘Di Sebalik Bayangan Harimau’ yang turut menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM150,000.

Baharunnurdalila Baharuddin

“Untuk menghasilkan sesebuah dokumentari, kita perlu memastikan fakta yang disampaikan tepat, jalan ceritanya menarik untuk memikat penonton, selain visual yang mampu menghidupkan penceritaan. Semua elemen ini memainkan peranan penting dalam menghasilkan sebuah dokumentari yang berkualiti,” katanya.

Selain itu, drama berjudul Selampai Labung oleh Danny Alamsyah Adriansyah memenangi Drama TV Terbaik dengan membawa pulang trofi kemenangan, hadiah wang tunai bernilai RM5,000 dan DKK berjumlah RM200,000.

ASA 2026 turut menyaksikan Datuk Rahim Razali dinobatkan sebagai Tokoh Seri Angkasa, manakala’ Kumang and the Ungrateful Phyton’ oleh Khiu Siaw Fong pula telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Juri.

Pemenang bagi kategori lain turut menerima hadiah kemenangan yang disediakan oleh Kementerian Komunikasi, berupa trofi dan wang tunai berjumlah RM5,000.00 bagi setiap pemenang.

Sebanyak 60 kategori dipertandingkan meliputi 40 kategori televisyen, 17 kategori radio dan tiga kategori media baharu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.