RTM ungguli ASA 2026, raih 13 anugerah lagi pada Malam Kemuncak

Barisan artis tanah air menghiburkan para hadirin dengan persembahan pentas yang penuh warna-warni dan bertenaga pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2026 bertemakan “Segalanya Bermula Di Sini” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 Oktober – Radio Televisyen Malaysia (RTM) mencatat kejayaan membanggakan apabila merangkul 13 anugerah daripada 30 kategori yang dipertandingkan pada Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kecemerlangan RTM dalam radio: Azlan Omar dan Dyya Nawai dinobat Penyampai Radio Terbaik, serta kemenangan Skrip, Pelakon dan Hiburan Radio Terbaik.
  • Televisyen RTM menyerlah; Otto Othman jadi Penyampai Berita TV Terbaik dan Sabah.fm raih Dokumentari TV Terbaik.
  • Dana Kandungan Kreatif Kementerian Komunikasi bernilai RM350,000 disalurkan kepada Dokumentari dan Drama TV terbaik.
  • Anugerah khas menghargai penggiat: Datuk Rahim Razali Tokoh Seri Angkasa; Khiu Siaw Fong terima trofi, wang tunai dan Perodua QV-E.

Daripada jumlah tersebut, lima anugerah dimenangi menerusi kategori radio, sekali gus membuktikan kecemerlangan berterusan RTM dalam menghasilkan kandungan audio yang berkualiti dan berimpak tinggi.

Bagi kategori radio, RTM muncul pemenang menerusi kategori Penyampai Radio Lelaki Terbaik yang dimenangi Azlan Omar, manakala Dyya Nawai menerima anugerah Penyampai Radio Wanita Terbaik.

RTM turut memenangi kategori Skrip Drama Radio Terbaik, Pelakon Drama Radio Terbaik serta Hiburan Radio Terbaik.

Dalam kategori televisyen pula, RTM terus menyerlah menerusi kemenangan Otto Othman sebagai Penyampai Berita TV Terbaik.

Selain itu, penerbitan Sabah.fm mengungguli kategori Dokumentari TV Terbaik, manakala kategori Pengarah Drama TV Terbaik turut menjadi milik RTM.

Malam kemuncak ASA 2026 terus menyaksikan kecemerlangan RTM apabila menerima Dana Kandungan Kreatif dari Kementerian Komunikasi bernilai RM350,000 menerusi Dokumentari TV Terbaik dan Drama TV Terbaik.

Dokumentari TV Terbaik karya Baharunnurdalila Baharuddin berjudul Di Sebalik Bayangan Harimau yang menerima Dana Kandungan Kreatif dari Kementerian Komunikasi bernilai RM150,000.

Manakala Drama TV Terbaik, Selampai Labung arahan Danny Alamsyah turut menerima Dana Kandungan Kreatif dari Kementerian Komunikasi bernilai RM200,000.

Anugerah Khas Juri diberikan kepada Khiu Siaw Fong TVS (Kumang and The Ungrateful Python) membawa pulang trofi dan wang tunai RM8,000 berserta sebuah Perodua QV-E.

Bagi Anugerah Tokoh Seri Angkasa pula dinobatkan kepada Datuk Rahim Razali yang membawa pulang trofi dan wang tunai bernilai RM10,000, pakej percutian, Dana Akaun bernilai RM8,000 sumbangan CIMB menerusi Durian-i dan Proton e.MAS 7.

Malam kemuncak ASA 2026 turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ashwad Ismail.

Pada Majlis Prelude ASA 2026 Selasa lalu, RTM melakar kejayaan cemerlang apabila dinobatkan pemenang bagi 15 daripada 30 kategori yang dipertandingkan.

Antara kemengan yang dimiliki ialah Kesan Khas TV Terbaik (Asrulhisyam Ahmad, TV1 – Srikandi); Dokumentari Radio Terbaik (Norafidah Mohd Yunus, Radio Klasik – Piring Hitam Khazanah Irama Merdeka); Bicarawara TV Terbaik (Shahril Sarapudin, Berita RTM – Bicara Naratif : Budaya Buli #YouTouchYouGo).

Selain itu RTM juga memenangi Rancangan Kanak-kanak TV Terbaik (Razliza Abdul Razak, TV1 – Junior Innovathon); Rancangan Agama Radio Terbaik (Nur Liyana Nazam, PahangFM – Sirah Rasullullah); Rancangan Agama TV Terbaik (Shahril Sarapudin & Nuraishah Mohd Yusof, TV1 – Salam Baitullah Khas Aidiladha 2025); Pengulas Radio Terbaik (Anil Kumar Alagu, TraxxFM) dan Pengulas TV Terbaik (Ismail Adnan, Berita RTM).

Kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan RTM dalam memperkasa kandungan penyiaran berkualiti, di samping mengangkat bakat dan kreativiti warga kerja serta penggiat industri yang terlibat dalam penerbitan radio dan televisyen.

Anugerah Seri Angkasa merupakan pengiktirafan tertinggi industri penyiaran negara yang dianjurkan bagi menghargai kecemerlangan karya dan profesionalisme pengamal media elektronik di Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.