
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Pengorbanan dan keberanian anggota keselamatan ketika mempertahankan kedaulatan negara dalam tragedi pencerobohan Lahad Datu pada 2013 bakal diangkat menerusi filem Takluk 2: Op Daulat yang akan ditayangkan di pawagam pada 26 November ini.
- TDM bekerjasama dengan Kumpulan Multimedia Entertainment menerbitkan filem untuk menyampaikan naratif pertahanan negara melalui medium kreatif.
- Filem diinspirasikan oleh peristiwa pencerobohan Lahad Datu dan Operasi Daulat, menzahirkan pengorbanan anggota keselamatan mempertahankan tanah air.
- Panglima Tentera Darat melancarkan podcast Tentera Darat bagi memperluas komunikasi digital dan mendekati masyarakat terutama golongan muda.
Filem berkenaan diterbitkan menerusi kerjasama Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan Kumpulan Multimedia Entertainment sebagai usaha menyampaikan naratif pertahanan negara kepada masyarakat melalui medium kreatif.
Menurut Cawangan Komunikasi Strategik TDM, filem itu diinspirasikan daripada peristiwa sebenar pencerobohan Lahad Datu dan Operasi Daulat yang menyaksikan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam mempertahankan tanah air.
“Kerjasama ini turut mengetengahkan penggunaan medium kreatif bagi menyampaikan mesej patriotisme dan meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap pengorbanan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Filem arahan Zulkarnain Azhar itu dibintangi Syafiq Kyle, Remy Ishak dan Kamal Adli.
Dalam majlis sama, Panglima Tentera Darat turut melancarkan podcast Tentera Darat bagi memperluas saluran komunikasi digital TDM dan mendekati masyarakat, khususnya golongan muda.
Inisiatif itu diharap dapat meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap peranan serta tanggungjawab Tentera Darat dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
Majlis berkenaan disaksikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman dan Penasihat Kumpulan Multimedia Entertainment, Datuk Chua Tee Yong.