
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Selepas 11 tahun membawa haluan berbeza, kumpulan rock legenda XPDC kembali menyatukan peminat menerusi Konsert XPDC Reunion yang berlangsung di Mega Star Arena, Bukit Bintang, pada 17 Oktober lalu.
- Kira-kira 3,500 peminat memeriahkan konsert, membuktikan legasi XPDC masih kukuh.
- Rangkaian lagu popular seperti Bahalol, Talam 2 Muka dan C.I.N.T.A menghidupkan suasana penuh nostalgia dan headbanging.
- Ali tetap muncul walaupun kesihatan kurang mengizinkan, mengimbau kenangan konsert lama dan menyentuh hati peminat.
- Penyatuan semula XPDC KPY dengan Izo menonjolkan muzik sebagai pengikat walaupun wujud perbezaan kelompok.
Menghimpunkan kira-kira 3,500 peminat, konsert anjuran Menara Network Sdn Bhd itu menemukan Ali, Izo, Zuar dan Amy dalam sebuah persembahan sarat nostalgia, sekali gus membuktikan muzik XPDC terus mendapat tempat dalam hati peminat rock tempatan.
Gegaran gitar, paluan dram dan sorakan penonton menghidupkan suasana menerusi rangkaian lagu popular termasuk Bahalol, Talam 2 Muka, C.I.N.T.A, Kita Pengyu, Semangat Yang Hilang, Selendang Merdeka dan Titian Perjalanan.
Kemunculan Ali pada pembukaan konsert mencuri perhatian apabila mengimbau kembali kenangan Konsert Raksaksa XPDC Brutal di Stadium Negara pada 1998. Meskipun keadaan kesihatannya kurang mengizinkan, beliau tetap menggagahkan diri untuk bersama rakan seperjuangan di pentas.
Segmen akustik menerusi lagu Langsung Tak Faham, Semangat Perjuangan Harmoni dan Apa Nak Dikata, dengan bantuan Mamu atau Zul Fazli, turut memberikan dimensi berbeza kepada persembahan apabila mengetengahkan sisi lebih intim karya XPDC.

Persembahan turut diserikan dengan kemunculan Ary menerusi Ntahapahapantah dan Bahalol, sebelum bergandingan dengan Mamu menerusi Aku Masih Di Sini.
Suasana semakin hangat apabila Aku Takkan Bising dan Cermin Dunia mengundang sorakan serta aksi ‘headbanging’ dalam kalangan penonton.
Di sebalik kemeriahan itu, konsert berkenaan turut menyentuh emosi apabila Ary mendendangkan Sedekah dan Khilaf, diiringi paparan visual komposer Allahyarham Zul Adnan atau J.S Kevin serta bekas vokalis XPDC, Allahyarham Syed Ismail atau Mael, pada skrin pentas.
Penghormatan itu mengimbau sumbangan kedua-dua insan seni berkenaan dalam membentuk identiti muzik XPDC, selain mengingatkan peminat bahawa karya yang ditinggalkan terus hidup merentasi generasi.
Konsert itu juga menjadi detik bermakna dalam usaha menyatukan semula XPDC Kita Pengyu (KPY) dengan pemain gitar Izo yang sebelum ini dikaitkan dengan XPDC Militia, selepas kedua-dua kelompok melalui perjalanan berbeza dan mempunyai pengikut tersendiri.
Turut menjayakan persembahan ialah pemuzik jemputan termasuk gitaris Arif Izo dan Jeff, pemain bes Yan Lefthanded, bekas anggota Wings, Eddie, serta pemain dram Black.
Persembahan diakhiri dengan lagu Hidup Bersama, melengkapkan malam yang menggabungkan tenaga rock, nostalgia dan semangat persahabatan.
Lebih daripada sekadar pertemuan semula, XPDC Reunion membuktikan perbezaan tidak semestinya memisahkan, sebaliknya kecintaan terhadap muzik mampu menjadi pengikat yang menyatukan pemuzik dan peminat.
Kehadiran ribuan peminat menjadi bukti bahawa legasi XPDC masih utuh, dengan karya-karya mereka terus bergema sebagai sebahagian daripada sejarah muzik rock tempatan.