Ikuti perkembangan semasa, pelajari ilmu baharu – DJ Sonic

DJ Sonic Hussien

KUALA LUMPUR, 24 November – Lebih dua dekad dalam industri penyiaran radio bukan penghalang buat penyampai radio Nasionalfm DJ Sonic atau nama sebenarnya Awang Suffian Awang Hussein untuk terus kekal relevan, malah sentiasa berusaha memperkukuh jenama Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi setiap platform yang diwakilinya.

RINGKASAN BERITA AI
  • DJ Sonic percaya penyampai radio perlu mengikuti perkembangan semasa dan sentiasa menambah ilmu untuk kekal relevan.
  • Keaslian diri, etika bersiaran dan tanggungjawab membawa nama RTM menjadi prinsip penting dalam kerjayanya.
  • Pencalonan dalam ABPBH 38 menjadi penghargaan dan dorongan untuk terus memperbaiki diri serta memberikan yang terbaik.

Bagi jejaka kelahiran Kapit, Sarawak itu, kunci untuk terus mendapat tempat di hati pendengar adalah dengan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.

“Kekal relevan… kena ikut perkembangan semasa dan sentiasa berilmu,” katanya ringkas ketika dihubungi RTM.

Mengakui perjalanan selama 27 tahun dalam industri bukan sesuatu yang mudah, Sonic percaya keaslian personaliti menjadi antara elemen penting dalam membina hubungan berterusan dengan pendengar, termasuk pengikutnya di media sosial.

Mengendalikan segmen 3 Suara di Nasional FM bersama DJ Dyya Nawai dan DJ Nazrie Fahmi, beliau turut memastikan identiti yang dibawa di corong radio selari dengan penampilannya di platform digital.

Menurutnya, beliau sentiasa memilih untuk menjadi diri sendiri selain memastikan nama RTM terus dibawa dengan penuh tanggungjawab dalam setiap penampilan.

“Kena jadi diri sendiri. Apa yang dipaparkan di media sosial itulah saya. Orang akan terima kita seadanya.

“Saya sentiasa bawa nama RTM di mana sahaja saya berada. Apabila menjadi hos, saya pastikan setiap bahasa yang digunakan betul dan sentiasa membawa nama RTM,” katanya.

DJ Sonic Hussien

Prinsip itu turut menjadi pegangan Sonic dalam memastikan setiap penyampaian bukan sekadar menghiburkan, malah mampu memberikan nilai positif kepada masyarakat.

Beliau berpendapat setiap tindakan dan tutur kata penyampai radio berpotensi menjadi ikutan orang ramai, sekali gus menuntut mereka sentiasa menjaga etika, khususnya ketika bersiaran.

“Saya sentiasa tanamkan dalam diri bahawa setiap yang saya lakukan akan menjadi ikutan orang ramai. Jadi, saya kena menjadi contoh terbaik, lebih-lebih lagi dalam soal etika ketika bersiaran.

“RTM memang dikenali dengan berita yang tepat dan sahih,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut tersenarai dalam Top 10 Malaysian Radio Personalities baru-baru ini turut membawa makna tersendiri buat Sonic, lebih-lebih lagi ketika beliau sedang mengharungi persaingan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-38.

Katanya, berita itu menjadi penghargaan terhadap segala usaha, pengorbanan dan pengalaman sepanjang hampir tiga dekad membina kerjaya dalam industri penyiaran.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat pencapaian itu sebagai alasan untuk berasa selesa, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus memperbaiki kelemahan diri.

“27 tahun saya dalam industri ini, ia betul-betul bermakna untuk saya. Segala penat lelah dan liku-liku yang saya lalui tiba-tiba hilang dengan berita ini.

“Bukan nak mendabik dada mengatakan saya hebat, tetapi ini isyarat untuk saya sentiasa baiki diri dan sedar bahawa saya tidak sempurna.

“Saya akan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah keluarga. Itu pun sudah cukup baik,” katanya.

Sebagai satu-satunya wakil RTM pada edisi ABPBH kali ini, penyertaan Sonic turut membuka ruang untuk pendengar dan peminat memberikan sokongan terhadap perjalanan kerjaya beliau dalam industri penyiaran.

Persaingan dalam kategori Penyampai Radio Popular ABPBH 38 kali ini turut menyaksikan Sonic bersaing bersama sembilan nama lain yang tidak asing dalam industri penyiaran, antaranya Ag Azmeer, Ajak Shiro, Dina Nadzir, Fizi Ali, Haiza, Hefny Sahad, Issey Fazlisham, Radin dan Sharifah Shahira.

Bertemakan ‘Kitalah Bintang’, ABPBH 38 mempertandingkan 21 kategori pada edisi kali ini, termasuk lima kategori yang dinaik taraf daripada kategori sampingan kepada kategori utama.

Undian bagi semua kategori telah dibuka bermula 16 November lalu dan akan berlangsung sehingga 6 Disember ini menerusi laman sesawang rasmi https://vote.tonton.com.my/abpbh38.

Sehubungan dengan itu, pendengar setia Nasional FM dan peminat Sonic berpeluang memberikan sokongan dengan mengundi penyampai radio berkenaan dalam kategori Penyampai Radio Popular.

Acara kemuncak ABPBH 38 dijadual berlangsung pada 12 Disember depan di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.