
KRUBONG, 25 Oktober – Pakatan Harapan (PH) mengesahkan akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
- Pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Hang Jebat.
- PH menampilkan 16 calon baharu dan beberapa calon kembali selepas tidak menyertai pilihan raya sebelum ini.
- Pembahagian kerusi: PKR sembilan, DAP tujuh dan AMANAH lima.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis pengumuman calon di Stadium Hang Jebat, di sini.
Daripada jumlah berkenaan, PH mempertaruhkan 16 calon baharu dan calon yang membuat kemunculan semula.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di sembilan kerusi, DAP di tujuh kerusi, manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) di lima kerusi.
Antara calon baharu yang diketengahkan ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin (Paya Rumput); Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (Durian Tunggal); Jegasilan K (Gadek); Poo Long Suan (Duyong); P. Danesh (Asahan); serta Farzana Haryani Mohd Nasir (Klebang).
Sementara itu, Ginie Lim Siew Lin membuat kemunculan semula apabila dinamakan sebagai calon bagi kerusi Machap Jaya.
Bagi calon yang dikekalkan, mereka termasuk Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, yang akan mempertahankan kerusi Bukit Katil, serta bekas Speaker DUN Melaka, Kerk Chee Yee (Ayer Keroh).
Turut dikekalkan ialah penyandang kerusi DUN Kesidang, Allex Seah Soo Chin; Kota Laksamana, Low Chee Leong dan Bandar Hilir, Leng Chau Yen.