Industri ayam dijangka kekal berdaya tahan dalam jangka sederhana

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Industri penternakan ayam Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dalam jangka sederhana, disokong permintaan domestik yang stabil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebergantungan tinggi pada import bahan makanan ternakan (jagung 0.2% sara diri) mendedahkan industri kepada risiko bekalan.
  • Jagung dan kacang soya kira-kira 70% kos makanan ternakan, mendedahkan pengeluar kepada turun naik harga global dan tekanan kos.
  • Dasar Agromakanan Negara 2.0 sasarkan sara diri ayam 140% menjelang 2030; pengusaha kecil tetap lebih terdedah kepada tekanan kos.

Namun, MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) dalam nota penyelidikannya berkata, kebergantungan tinggi terhadap import bahan makanan ternakan kekal antara risiko utama kepada industri itu.

Jelas MBSB IB, kadar sara diri ayam negara dianggarkan antara 91 hingga 93 peratus, manakala pengeluaran telur mencapai kira-kira 107 peratus daripada keperluan domestik.

Sebaliknya, kadar sara diri jagung hanya 0.2 peratus, menyebabkan industri hampir sepenuhnya bergantung kepada bekalan import.

Jagung dan mil kacang soya pula merangkumi kira-kira 70 peratus daripada kos makanan ternakan, sekali gus mendedahkan pengeluar kepada turun naik harga input di pasaran global.

Menurut MBSB IB, kemampuan pengguna mendapatkan makanan pada harga berpatutan menjadi pertimbangan utama apabila inflasi makanan meningkat.

“Apabila inflasi makanan meningkat, aspek kemampuan pengguna untuk membeli makanan menjadi keutamaan.

“Langkah dasar Malaysia sepanjang 2022 hingga 2023 menggabungkan harga siling runcit dengan subsidi pengeluar, menyebabkan harga jualan domestik tidak seiring dengan kos input yang ditentukan oleh pasaran global,” menurutnya.

MBSB IB turut memaklumkan, pelaburan dalam pengeluaran bahan makanan ternakan tempatan, automasi penternakan, kapasiti pembiak baka dan produk nilai tambah berpotensi mengukuhkan daya tahan industri serta mengurangkan turun naik pendapatan.

“Untuk jangka panjang, pelaburan seterusnya dalam pengeluaran bahan makanan ternakan tempatan, automasi penternakan, kapasiti pembiak baka dan produk nilai tambah berpotensi meningkatkan daya tahan industri dan mengurangkan turun naik pendapatan,” menurutnya.

Dalam pada itu, Dasar Agromakanan Negara 2.0 menetapkan sasaran kadar sara diri ayam sebanyak 140 peratus menjelang 2030.

MBSB IB turut menyatakan pengusaha kecil lebih terdedah kepada tekanan kos berbanding pengeluar bersepadu yang mempunyai kelebihan dari segi skala operasi, perolehan dan kawalan rantaian pengeluaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.