
KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Ringgit dijangka diniagakan dalam lingkungan RM4.07 hingga RM4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, dengan tumpuan pelabur terarah kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 27 dan 28 Oktober ini.
- Pelabur meneliti kenyataan dan sidang akhbar FOMC untuk petunjuk hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan AS.
- Pasaran menjangkakan kadar dana Fed kekal 3.75 hingga 4.00 peratus; penilaian inflasi, pelaburan AI dan penilaian ekuiti akan tentukan keyakinan.
- Ringgit sedikit menyusut berbanding dolar AS minggu ke minggu namun kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur akan meneliti petunjuk mengenai hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed) menerusi kenyataan FOMC dan sidang akhbar susulannya.
Beliau berkata, pasaran menjangkakan kadar dana Fed kekal tidak berubah pada paras 3.75 hingga 4.00 peratus.
“Penilaian Fed terhadap inflasi serta keadaan pasaran semasa, khususnya berkaitan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) dan penilaian ekuiti, akan menjadi elemen penting dalam membentuk keyakinan pasaran.
“Perkara yang lebih penting ialah sama ada terdapat sebarang perubahan dalam pendirian dasar monetari semasa, selain prospek inflasi bagi tempoh semasa dan akan datang,” katanya.
Sementara itu, bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit menyusut berbanding dolar AS kepada 4.0835/0875 daripada 4.0795/0835 pada minggu sebelumnya.
Mata wang tempatan itu turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain sepanjang minggu berkenaan.
Bagaimanapun, ringgit kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.