PIAM sambut baik langkah Belanjawan 2027 perkukuh pengurusan risiko insurans

Penggunaan sistem telematik bagi kenderaan perdagangan mampu memperkukuh pencegahan kemalangan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon./ Foto fail BERNAMA

SHAH ALAM, 24 Oktober – Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menyambut baik langkah dalam Belanjawan 2027 berkaitan keselamatan jalan raya, mitigasi banjir dan sokongan kepada pekerja gig yang berpotensi mengurangkan kerugian serta memperluas akses kepada perlindungan insurans.

RINGKASAN BERITA AI
  • PIAM menyokong pemasangan sistem telematik pada kenderaan perdagangan untuk memperkukuh pencegahan kemalangan dan peranan pampasan insurans.
  • Pemantauan telematik dan dashcam menggalakkan pemandu lebih berhati-hati serta mematuhi peraturan jalan raya.
  • Menyokong bantuan kos penyelenggaraan dan insurans bagi pekerja gig seperti pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon berkata, penggunaan sistem telematik bagi kenderaan perdagangan merupakan langkah ke arah memperkukuh pencegahan kemalangan, selain peranan industri insurans dalam menyediakan pampasan selepas sesuatu kejadian.

Menurutnya, pemantauan melalui sistem telematik atau kamera papan pemuka (dashcam) dapat menggalakkan pemandu supaya lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya.

“Kami mahu menjadi sebahagian daripada ekosistem keselamatan jalan raya dan pencegahan risiko, serta membantu mengurangkan kerugian.

“Sebab itu, kami menyokong penggunaan sistem telematik bagi kenderaan perdagangan sebagai langkah permulaan,” katanya kepada RTM.

Belanjawan 2027 menggariskan pemasangan sistem telematik pada kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko.

Pelaksanaan secara sukarela diteruskan hingga 2027 sementara kerajaan membangunkan pangkalan data pemandu bagi tujuan penguatkuasaan.

Dalam aspek mitigasi banjir, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi membangunkan kolam takungan dan menyelenggara sungai di Lembah Klang, selain hampir RM320 juta untuk membaiki serta menaik taraf cerun, parit dan longkang di kawasan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

Chua berkata, usaha mengurangkan risiko dan kerugian berpotensi menyokong penawaran produk insurans yang lebih mampu milik, bergantung pada tahap risiko serta kos tuntutan.

Beliau turut menyokong langkah membantu pekerja gig, termasuk pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing, menerusi bantuan bagi kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.